Sekiranya masih ramai berdegil dan tetap pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung, bukan mereka sahaja yang beraya malah virus COVID-19 turut ikut sama ‘beraya’.

Pakar Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud berkata, lambakan perumah di kampung membuka ruang seluasnya buat virus tersebut menjangkiti manusia.

“Agak mengecewakan kerana sudah ada laporan percubaan merentas sempadan negeri, salah satu larangan di bawah SOP (prosedur operasi standard) hari raya.

"Katalah semua orang keluar beraya tanpa mematuhi SOP, maka ada jutaan orang yang mungkin dijangkiti.

“Bukan saja kita beraya, tapi virus pun ikut sama beraya, terkejut dengan lambakan perumah yang boleh mereka jangkiti.

“Kemudian, bila kita kunjung-mengunjung tanpa had, bersalam, berpeluk cium, tak pakai topeng muka, tanpa penjarakan sosial, maka kadar jangkitan akan jadi lebih tinggi.

"Paling kita risau adalah golongan berisiko macam warga emas, orang yang sakit kronik,” katanya.

Tambah Dr Aidalina, sekiranya ramai warga emas dijangkiti virus tersebut, sistem kesihatan negara mungkin tidak dapat menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Natijahnya, mereka yang berpotensi untuk sembuh akan diberi keutamaan.

“Di Malaysia ada 2.1 juta penduduk berumur 65 tahun ke atas. Andai kata, 0.5 peratus daripadanya dijangkiti COVID-19, jumlah pesakit adalah 10,720 orang.

“Jika makcik dan pakcik ini dijangkiti, bagaimana sistem kesihatan kita nak tampung, kerana kita ada 8,800 katil sahaja.

"Jika terdapat lambakan pesakit sebegini, biasanya hospital akan pilih siapa yang boleh masuk hospital dan siapa yang boleh masuk Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Dalam satu artikel baru-baru ini, pakar berkata, kalau nak pilih pesakit, pilih yang muda dan ada peluang nak sembuh.

"Jadi, pakcik dan makcik yang ada penyakit kronik mungkin tidak akan dipilih pun. Itu yang menyedihkan,” katanya.

Dr Aidalina berkata demikian dalam Sesi Webinar Secara Langsung dibawakan Astro AWANI yang membincangkan tajuk ‘Aidilfitri dan COVID-19: Beraya Secara Berhemah pada Rabu.

Webinar tersebut dikelolakan Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop dan disertai ahli panel lain iaitu Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin, Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng dan aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.