COVID-19: Pengalaman bantu lancarkan misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia -NADMA

Isabelle Leong
Februari 26, 2020 12:35 MYT
Sebanyak 287 anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan NADMA, terlibat dengan misi kedua ini. - Kementerian Kesihatan Malaysia
Misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China hari ini berikutan penularan wabak COVID-19 berjalan dengan lancar kerana dibantu dengan pengalaman daripada misi pertama.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan pada Rabu lebih teratur kerana semua pihak yang terlibat sudah maklum akan tanggungjawab masing-masing.
“Kami agak khuatir dengan beberapa kemungkinan yang boleh berlaku (pada misi pertama) kerana itu merupakan pengalaman pertama buat semua agensi di Malaysia.
“Bagaimanapun, saya lihat pengurusan operasi hari ini dilaksanakan dengan baik kerana semua perancangan kami pada hari ini dibuat berdasarkan pengalaman pada misi pertama dahulu,” kata Mohtar ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya lagi, pihaknya akan mendokumentasikan perjalanan misi-misi ini agar dapat menjadi panduan untuk misi yang sama pada masa akan datang.
Tambahnya, buat masa ini, tiada perancangan untuk melaksanakan misi ketiga bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka yang masih terkandas di Wuhan, China.
“Setakat ini, kami tidak merancang untuk ketiga kerana jumlah (rakyat di Wuhan) terlalu kecil.
“Kami mengkaji kembali perkara ini dan membuat keputusannya kemudian.
“Kebanyakan negara yang kami lihat, setakat dua misi sahaja dan mereka cuba membawa balik seramai rakyat mereka yang boleh,” tambahnya.
Pesawat khas misi kedua yang membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 6.45 pagi Rabu.
Pesawat AirAsia AK8265 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan pada jam 1.45 pagi tadi membawa 66 penumpang yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekitar.
Seramai 66 orang terdiri daripada 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan/anak) mereka yang bukan warga negara dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada pukul 1.45‬ pagi Rabu.
Sebanyak 287 anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan NADMA, terlibat dengan misi kedua ini.
Pada 4 Februari lalu, misi HADR pertama kali digerakkan kerajaan Malaysia dan berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei.
Mereka terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan Malaysia #Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara #koronavirus #misi kedua #Mohtar Mohd Abd Rahman #NADMA #pesawat khas #Wuhan
;