KUALA LUMPUR: KADAR kebolehjangkitan (R-naught atau Rt) COVID-19 di Malaysia terus mencatat penurunan untuk hari ketujuh berturut-turut.

Pada Khamis, nilai Rt negara susut kepada 1.07 berbanding 1.09 hari sebelumnya.

Sebelas negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Terengganu mencatat nilai Rt tertinggi dengan 1.44, diikuti Kedah, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.

Negeri yang turut mencatatkan kadar melebihi purata kebangsaan adalah Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Beberapa negeri pula catat di bawah purata kebangsaan iaitu Negeri Sembilan, Sarawak, Perak serta Labuan, sementara Perlis merekodkan enam kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.