KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (R-naught atau Rt) COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan penurunan selepas menyaksikan peningkatan lima hari berturut-turut.

Pada Isnin, nilai Rt turun ke 1.14, berbanding 1.15 hari sebelumnya.

Lima negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Putrajaya tertinggi pada 1.32.

Negeri yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Terengganu, Selangor, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara Kelantan, Perak, Labuan, Sarawak dan Perlis merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah 1.0.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac manakala yang tertinggi, 1.21 pada 23 Mei.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.