KUALA LUMPUR: Selangor terus memacu usaha vaksinasi di mana sejumlah 71.2 peratus rakyat negeri itu kini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua program vaksinasi yang kini bergerak serentak, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Vaksin Selangor (Selvax), akan memperlihatkan hasilnya menjelang September depan.

"Setakat 5 Ogos 2021, sejumlah 4.89 juta dos vaksin telah disuntik di Selangor. Manakala, menerusi Selvax pula, tambahan sebanyak 225,628 dos telah disuntik.

"Sebanyak 31.7 peratus, bersamaan 1.51 juta individu pula telah lengkap dua dos vaksin di Selangor," katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

 
Sumber Facebook amirudinbinshari

Dalam masa yang sama, Amirudin berkata, agenda digitalisasi juga akan terus menjadi fokus bagi membantu memudahkan urusan rakyat ketika dan pasca pandemik.

"Agenda digitalisasi yang telah berkembang di Selangor perlu terus dimantapkan dari semasa ke semasa.

"Inisiatif-inisiatif digitalisasi perkhidmatan awam mesti diperbanyakkan untuk mempermudahkan rakyat berurusan khususnya di era pandemik dan pasca pandemik kelak," ujarnya.