Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan untuk sentiasa memastikan segala keperluan asas terutama kesihatan, kebajikan dan keselamatan pelajar terjaga.

Menteri KPT, Datuk Noraini Ahmad dalam satu kenyataan media berkata pihak KPT menerusi semua institusinya telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menghadapi penularan wabak COVID-19.

Ia termasuk mengaktifkan Bilik Gerakan COVID-19 di setiap institut pengajian tinggi (IPT), penyediaan penempatan khas serta bilik isolasi, bantuan bekalan makanan serta penyediaan kemudahan kafetaria dan kedai runcit secara terkawal.

“Pihak Kementerian juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan atau ‘Command Centre’ COVID-19 ini sejak 10 Februari lalu dan beroperasi 24 jam sehari dengan kekuatan 70 orang yang bertugas secara syif bagi membantu pelajar-pelajar di IPT dalam dan luar negara.

“Bagi yang memerlukan informasi terkini, boleh terus menghubungi talian hotline yang telah diuar-uarkan di media massa dan media sosial,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau pada sama turut menyeru pelajar-pelajar yang mempunyai simptom COVID-19 untuk tidak panik dan merujuk terus kepada pihak IPT masing-masing atau pusat kesihatan terdekat dengan segera.

Mengulas berkenaan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian sepenuhnya, pihaknya juga mengambil maklum akan tahap kesediaan beberapa IPT dari segi infrastruktur dan pensyarah.

“Kementerian juga mengambil maklum terdapat institusi yang telah menawarkan program PdP atas talian sepenuhnya dan mendapat lesen Open and Distance Learning (ODL).

“Mengambil kira faktor tersebut, KPT membenarkan IPT untuk meneruskan pembelajaran dalam talian dengan syarat semua pelajar perlu mendapat akses, kesediaan pensyarah dan infrastruktur dapat dipenuhi sepenuhnya.

“KPT tidak mahu terdapat pelajar yang ketinggalan kerana tidak mendapat akses kepada internet. Sesi bersemuka atau face-to-face adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Selain itu, pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri (LI) atau latihan Work Based Learning (WBL) di industri, Noraini berkata KPT telah memutuskan ia ditangguhkan serta merta sehingga 31 Mac 2020 kecuali bagi industri pemberi perkhidmatan penting negara.

Bagaimanapun, pihaknya turut berharap pihak institusi boleh mempertimbangkan kelulusan cuti kepada pelajar atas persetujuan pihak industri.

Justeru, beliau berharap semua pelajar untuk kekal tenang dan bersama-sama beliau untuk menghadapi penularan wabak tersebut.