KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 227 kes pulih COVID-19 dan dibenarkan discaj dengan Hospital Sibu mencatat jumlah tertinggi iaitu 107 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 7,490 orang atau 75.47% dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Kes pulih harian ini mengatasi kes positif baharu COVID-19 yang berjumlah 159 kes dengan Sibu kembali mencatat kes tertinggi dengan 52 kes.

Ia diikuti Betong dengan 49 kes, Kuching (18), Bintulu (15), Miri (9), Sarikei (5), Dalat (3), Samarahan (3) manakala Sri Aman, Bukit Mabong, Marudi , Tatau dan Subis  masing-masing satu kes.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 9,924 kes,” jelas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya hari ini.

JPBN Sarawak turut memaklumkan Kluster Sekubong, Sebauh telah diisytihar tamat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir dikesan melibatkan kluster ini.

Sementara jumlah kluster yang masih aktif sebanyak 25 kluster dengan tiga kluster mempunyai penambahan kes, manakala 22 kluster tiada penambahan kes.

Kenyataan itu juga memaklumkan Daerah Selangau, Kanowit, Betong, Meradong, Kuching, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah dengan  2,554 kes jangkitan tempatan dilaporkan di 10 buah daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.