KUALA LUMPUR:Kerajaan disaran mengaktifkan semula Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mengekang penularan COVID-19 di Lembah Klang.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata melihat kepada perkembangan semasa penularan wabak itu di Semenanjung, ia sememangnya menjadi satu keperluan untuk membuka semula operasi pusat kuarantin tersebut.

“Kami melihat limpahan kes positif dari satu negeri ke negeri yang lain, ia seakan-akan tidak terkawal.

“Sebagai contoh, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Dalam dua hari semalam, Negeri Sembilan sudah mula mempunyai Zon Merah,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.


Katanya lagi, pembukaan semula pusat kuarantin MAEPS dilihat itu boleh membantu hospital biasa yang tidak mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 yang kian meningkat saban hari.

“Bagi mereka disyaki tetapi ujian negatif, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah seperti biasa.

“Bagi mereka yang sudah disahkan positif pula, hospital biasa tidak boleh menangani limpahan pesakit yang bertambah setiap hari.

“Saya fikir terdapat keperluan untuk kami membuka semula pusat kuarantin khas berkenaan,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Unjuran KKM jangkakan kes harian cecah 1,300 pada hujung Oktober

Sewaktu awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Mac lepas, kerajaan telah membuka pusat kuarantin sementara di MAEPS itu untuk menampung peningkatan pesakit pesakit berisiko rendah.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pusat kuarantin MAEPS boleh diaktifkan semula hanya dalam tempoh tiga hari sekiranya benar-benar perlu.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan memantau rapat peningkatan kes di Lembah Klang, dan akan mengkaji keperluan itu, dari semasa ke semasa.

Beliau pada satu sidang media pada 8 Oktober lalu berkata terdapat 400 katil di Pusat Rawatan di Hospital Sungai Buloh dan ia mencukupi bagi menampung pesakit positif jangkitan COVID-19.

Pada Sabtu (25 Oktober), Malaysia mencatatkan kes COVID-19 harian paling tinggi iaitu sebanyak 1,228 kes.


Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kes jangkitan paling tinggi iaitu 889 kes dan diikuti Negeri Sembilan (96 kes); Selangor dan Kedah masing-masing 76 kes, Pulau Pinang (23 kes); Wilayah Persekutuan Labuan (21 kes); Perak (10 kes); Sarawak (lapan kes); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (lapan kes); Johor (tujuh kes); dan Melaka (tiga kes).