Kementerian Pendidikan bersama negara anggota Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organisation (ICESCO) berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata persidangan secara maya itu disertai 43 negara anggota dan 11 pertubuhan antarabangsa.

"Petang semalam saya telah menyertai persidangan menteri-menteri pendidikan bagi negara anggota ICESCO.

"Saya telah berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan.


"Saya juga menyentuh berkaitan persediaan yang dibuat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat dilaksanakan apabila sekolah dibuka kelak," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter pada Jumaat.

Radzi menambah, perkongsian dan perbincangan antarabangsa amat penting dalam menghadapi krisis besar seperti COVID-19.