PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memantau tahap jangkitan COVID-19 pada sesi persekolahan yang baharu dibuka dari semasa ke semasa.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Md Jidin, beberapa kes jangkitan yang dikesan berlaku setakat ini adalah membabitkan kes jangkitan di luar sesi persekolahan.

“Kita akan terus memantau jangkitan-jangkitan sekiranya ada berlaku jangkitan dan kluster dalam sekolah kita dan kita akan terus buat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kita perlu ingat dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik apabila virus ini telah berada dalam masyarakat, maka akan ada murid-murid yang mungkin positif iaitu dijangkiti daripada keluarga dan sebagainya,” katanya selepas hadir pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Putrajaya petang tadi.

[TERKINI] Sidang Media Menteri Kanan Pendidikan


Tambahnya lagi, ketika ini pematuhan SOP adalah amat penting dalam menjamin keselamatan pelajar pada sesi pembelajaran secara bersemuka yang baharu sahaja dibuka ketika ini.

Malah, sesi bersemuka yang dibuat tanpa penggiliran kali ini diharap akan mampu bertahan dan diteruskan bagi memastikan sesi pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan dapat dilaksanakan.

“Apabila sesi persekolahan bersemuka ini mula dibuka masing-masing berasa selesa. Sebab itu kita sentiasa turun dan kita minta pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan SOP ini sentiasa dipatuhi,” jelasnya lagi.

Sementara itu dalam isu berlainan, Radzi menjelaskan pihak KPM ketika ini sedang membangunkan satu sistem ‘Dashboard’ bagi membolehkan setiap pengetua dan guru besar mendapatkan bil utiliti semasa terutamanya air di setiap sekolah.

Jelasnya, ia berikutan pembaziran air yang serius di sesetengah sekolah yang dikesan.

“Dalam tempoh 22 bulan ini, saya telah melawat ke 227 institusi di seluruh negara. Daripada situ kita dapat lihat apakah penambahbaikan yang perlu kita buat. Antaranya adalah untuk mengurangkan pembaziran dalam konteks utiliti di sekolah termasuklah bil air.

“Ada sekolah yang waktu kami melawat dalam tempoh PKP walaupun sekolah ditutup bil airnya masih mencecah ribuan ringgit. Maknanya itu satu keadaan yang agak janggal sedangkan sekolah ditutup dan tidak ada murid di sekolah tapi bil airnya beribu,” jelasnya lagi.

Sistem Dashboard itu nanti akan berfungsi untuk membolehkan pengesanan lebih efisien tentang sebarang punca yang berkemungkinan sebab kenapa pembaziran itu berlaku termasuklah faktor kebocoran paip dan sebagainya.