KUALA LUMPUR : Sebanyak 39 peratus daripada keseluruhan kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini direkodkan di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 76.1 peratus atau 496 kes adalah melibatkan kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Berikut adalah lima perkara penting dalam kenyataan akhbar beliau hari ini:

1. Sebanyak 1,671 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan dua kes import. 

2. Empat kematian direkodkan, kesemua warganegara berusia 47 hingga 83 tahun. 

3. Empat kluster baharu dikesan, masing-masing dua di tempat kerja dan dalam komuniti.

4. Kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan setakat hari ini adalah 14,442 kes.

5. Sebanyak 151 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), 64 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.