KOTA KINABALU: Dua lagi daerah di Sabah berubah menjadi zon hijau, menjadikan keseluruhan tujuh daerah yang dikategorikan zon hijau COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Sipitang dan Pitas sebelum ini dikategorikan sebagai zon kuning, bagaimanapun ketiadaan kes baharu membolehkan ia bertukar menjadi zon hijau.

"Selain itu, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 82 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,406 kes.

"Daripada 82 kes positif COVID-19, sebanyak 53 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 14 kes saringan bergejala, 10 kes daripada kluster sedia ada serta lima kes dari lain-lain kategori," katanya menerusi kenyataan media berhubung laporan kes harian COVID-19 bagi negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, dua kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu di Tawau dan Sandakan.

Katanya, tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (34 kes), Sandakan (14) dan Kota Kinabalu (10).

Dalam pada itu, beliau yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah pada 97.4 peratus dengan 10 daerah mencatatkan 98 peratus pematuhan.

Antaranya ialah Semporna, Beluran, Beaufort, Ranau, Sipitang, Kudat, Kota Belud, Keningau, Tenom dan Kota Marudu.