Kerajaan memohon kepada rakyat Malaysia untuk terus tinggal di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika rakyat terus mengamalkan displin yang tinggi, ia dapat membantu kerajaan menilai kembali tempoh PKP, sama ada dipendekkan atau ditamatkan terus.

Dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini, Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan sedar ada rakyat mula berasa tidak senang hati dengan tempoh PKP yang hari ini memasuki hari ke 33, namun ia merupakan sesuatu yang amat penting untuk dilaksanakan.

“Kita faham ramai agak kurang senang dengan kuarantin wajib yang kita perkenalkan ini. Namun daripada laporan yang kita terima dari Kemnterian Kesihatan, kita dapati 17 kes positif COVID-19 di kalangan rakyat kita yang pulang dari luar negara.

“Cuba kita bayangkan, kalau kita bebaskan mereka untuk pulang buat self-quarantine, kita boleh bayangkan keluarga mereka pasti terdedah kepada COVID-19. Ahli keluarga mereka keluar ke pasaraya, untuk beli barangan, tentu jangkitan itu akan merebak dengan lebih luas. Pasti wujud kluster baharu, kluster rakyat pulang dari luar negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mewakili kerajaan, memohon dan merayu kepada rakyat untuk terus patuh kepada arahan yang dikeluarkan sepanjang tempoh PKP.

“Patuhilah setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan supaya kita bersama-sama putuskan rantaian COVID 19 ini supaya kita dapat segerakan untuk menamatkan PKP.

“Kalau kita bersama-sama, mungkin perintah PKP yang ada hari ini, dapat kita pendekkan atau kita tamatkan,” ujar beliau lagi.