KAPIT: Tiga pegawai perubatan, seorang pegawai tugas am dan 35 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Kapit bagi memulakan misi mendirikan hospital medan ATM.

Hospital ini akan didirikan di Dewan Masyarakat Melayu yang terletak kira-kira lima kilometer dari Hospital Kapit.

Pembukaan fasiliti ini disepakati antara Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba dan Kementerian Pertahanan bagi menampung keperluan kesihatan di Hospital Kapit.

Ini kerana hospital tersebut yang juga hospital daerah berpakar kini berdepan kekangan bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 dan pesakit biasa dalam satu-satu masa.

Dalam tempoh 14 hari yang lepas, Kapit mencatatkan 590 kes positif COVID-19 sekali gus menyenaraikan bahagian itu ke kedudukan ke empat dengan bilangan kes positif tertinggi selepas Bintulu, Sibu, Miri dan Kuching.

Terdahulu, pergerakan dari Pangkalan Udara Kuching menuju ke Sibu membawa peralatan dan kelengkapan perubatan bagi memenuhi keperluan di hospital tersebut.

Kumpulan ini berlepas jam 2.55 petang dari Kuching dan tiba di Lapangan Terbang Sibu sekitar jam empat petang.

Ia turut membawa bersama kelangkapan antaranya katil, troli perubatan, set komputer, peralatan x-ray, oksigen dan penghawa dingin mudah alih.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Sibu, kumpulan perubatan bergerak menuju ke Kapit dengan menaiki tujuh buah trak.