KUCHING: Lebih 91 peratus daripada penduduk yang layak di negeri ini telah divaksin, dengan 89.51 peratus daripada mereka telah mendapat suntikan dos penggalak ketiga, dedah Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Kejayaan itu, katanya, membolehkan sambutan Gawai pada tahun ini disambut lebih meriah, berbanding ketika berada dalam pandemik COVID-19, dua tahun lalu yang penuh dengan kekangan.

Dalam perutusan Hari Gawai, Uggah berkata, ini tidak bermakna rakyat negeri ini sudah bebas sepenuhnya kerana COVID-19 sebenarnya masih wujud dan masih menghantui.

“Kita perlu terus berwaspada agar kita dapat merayakan sambutan gawai dan perayaan lain pada tahun hadapan dengan lebih gembira dan bebas.

"Justeru biarlah kita terus mematuhi SOP dengan tegas,” ujarnya lagi.

Dari segi politik, katanya, ada kewajaran untuk sambutan kali ini lebih meriah terutama setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mendapat mandat, sokongan dan keyakinan rakyat ketika Pilihan Raya Negeri pada Disember lalu, apabila menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

“Malah atas semangat 'Agi Idup Agi Ngelaban', kita seharusnya berbangga apabila Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus berjuang untuk mendapatkan hak negeri ini yang terhakis menerusi Perjanjian Malaysia 1963.

“Justeru amat penting untuk kita terus menyokong penuh kepimpinannya agar beliau sentiasa bersemangat dan memiliki kekuatan luar biasa untuk perjuangan ini,” tambahnya.

Sempena sambutan Gawai ini, ikrarnya lagi, GPS beriltizam untuk terus menggandakan usaha dan komitmen untuk memperkasakan masyarakat di luar bandar.

Ini dilakukan dengan menghubungkan semua  penempatan, baik rumah panjang, juga kampung di seluruh negeri.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, semua jurutera bahagian di Jabatan Kerja Raya telah diminta untuk mengenal pasti dan membuat laporan mana-mana penempatan yang kini masih belum dihubungi oleh laluan darat.

“Bermakna jalan baharu akan dibina manakala jalan balak dan ladang kelapa sawit yang sesuai akan dibaiki dan dinaik taraf.

Sehingga Mac tahun ini, Sarawak memiliki 6,521 penempatan dengan 3,819 daripadanya berjaya dihubungkan dengan laluan darat dan 1,388 lagi memerlukan laluan darat yang dinaik taraf.

Sarawak, tambah Uggah lagi, kini dirangkaikan dengan 30,650 kilometer jalan negeri dan 1,591 kilometer jalan Persekutuan.

Daripada jumlah ini 5,645 kilometer adalah memuaskan manakala 4,200 kilometer perlu dinaik taraf.

“Ini tidak termasuk laluan persendirian milik ladang kelapa sawit dan jalan balak." 

Dedahnya lagi, kerajaan telah menerima cadangan untuk membina sekitar 6,000 kilometer jalan baharu, dan ia diharap dapat merangkaikan seluruh negeri apabila siap pada tahun 2030.