KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat 9,751 kes baharu COVID-19, beberapa hari berturut-turut di bawah 10,000, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 2,323,478 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di Twitternya memberitahu, Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu tertinggi dengan 1,796 diikuti Sarawak (1,339 kes) dan Kelantan (1,052 kes).

"Sementara Johor, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah mencatatkan kes di bawah 1,000," kata beliau dalam hantaran itu pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, Perlis, Putrajaya dan Labuan pula merekodkan kes antara dua hingga 94 kes.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, daripada 9,751 kes harian yang dilaporkan, hanya 2.1 peratus (206 kes) berada dalam kategori tiga, empat dan lima sementara selebihnya adalah terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua.

Sementara itu, 12,724 pesakit lagi katanya, dilaporkan sempuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, seramai 792 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 386 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Sebanyak 10 lagi kluster baharu dikenal pasti yang menjadikan 874 kluster aktif sehingga hari ini, " jelasnya.

Daripada jumlah itu katanya, enam adalah daripada kategori tempat kerja, dua (komuniti) manakala masing-masing satu daripada kategori kumpulan berisiko dan pendidikan.

Menurut data COVIDNOW, kadar kematian setakat Khamis adalah 132 kes, yang menjadikan angka kumulatif mencecah 27,113 individu.





BERITA LANJUT MENYUSUL