KUALA LUMPUR: Sejumlah 83 kluster COVID-19 melibatkan 4,868 kes dilaporkan berlaku dalam sektor pendidikan sepanjang tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah 83 kluster tersebut, sebanyak 49 atau 59.04 peratus kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif.

"Sementara 34 atau 40.96 peratus kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

"Daripada jumlah kluster tersebut juga, sebanyak 39 atau 46.99 peratus kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, 19 atau 22.89 peratus kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi dan 25 atau 30.12 peratus kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Lain.

Justeru, KKM ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan COVID-19.