KUALA LUMPUR: Negara terus menyaksikan peningkatan jumlah korban akibat COVID-19 dengan kematian terbaharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini ialah sebanyak 311 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah daripada jumlah itu, sebanyak 270 kes melibatkan warganegara sementara bakinya, 31 pula terdiri daripada bukan warganegara.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, KKM merekodkan 93 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) yang melibatkan 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

BACA: 18,547 kes COVID-19 hari ini, Sarawak rekod 3,200 jangkitan

Kata Dr Noor Hisham, negeri Selangor pula mencatatkan korban tertinggi iaitu 55 kes diikuti Johor (53 kes), Sabah (45 kes), Kedah (43 kes) dan Pulau Pinang 34 (kes).

Manakala Perak, jelas beliau, mencatatkan 20 kes kematian diikuti Kelantan (14 kes), Terengganu (12 kes), Kuala Lumpur dan Melaka masing masing 10 kes.

Sementara negeri Pahang dan Sarawak pula, kata Dr Noor Hisham, masing masing merekodkan lima kematian, Negeri Sembilan (3 kes) dan Perlis (dua kes).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, negeri Johor mencatatkan kes BID tertinggi iaitu sebanyak 44 kes diikuti Sabah (34 kes) dan Kedah (21 kes).

Negeri Selangor pula mencatatkan 15 kes BID, manakala Pulau Pinang (enam kes), Perak (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka dan Kuala Lumpur.