KUCHING: Sebanyak 2,000 pemain industri pelancongan dijangka menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, di Jalan Stampin di sini yang bermula Khamis hingga Ahad (18 Julai).

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) berkata suntikan dos pertama berjaya diselesaikan dari 24 hingga 27 Jun lepas di tempat yang sama.

"Seramai 317 pemain industri pelancongan telah berjaya menerima suntikan dos kedua masing-masing semalam (15 Julai). Dijangka semua peserta program yang berdaftar akan menyelesaikan vaksinasi mereka pada 18 Julai," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut MTAC, program vaksinasi industri untuk sektor pelancongan telah diselaraskan melalui ProtectHealth Corporation (PHC) setelah mendapat persetujuan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) dan negeri.

Program vaksinasi industri pelancongan penting bagi memastikan pemain industri menerima vaksin sebagai persediaan menerima kedatangan pengunjung memandangkan Sarawak sedang berusaha mencapai sasaran imuniti kelompok COVID-19, menjelang Ogos.

"MTAC berharap dapat membuka beberapa destinasi pelancongan utama di negeri ini dan mengadakan acara perniagaan serantau sebelum akhir tahun ini kerana kami secara beransur-ansur membuka sempadan negeri kepada pengunjung," katanya.

-- BERNAMA