SHAH ALAM: Seramai 1,494 individu disyaki positif COVID-19 hasil saringan program Saringan Komuniti COVID-19 yang dilaksanakan secara percuma di 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di akaun Twitter @Amirudin Shari berkata jumlah tersebut diperoleh melalui 29,239 individu yang menghadiri saringan di DUN berkenaan pada Sabtu.

"Setakat 22 Mei, seramai 29,239 individu telah menghadiri Program Saringan COVID-19 oleh kerajaan negeri. Seramai 1,494 individu disyaki positif. Sertai ujian saringan ini dan pradaftar di screening.selangkah.my/login atau gunakan aplikasi SELangkah," katanya.

Program Saringan Komuniti COVID-19 merupakan program saringan percuma kerajaan negeri ke atas rakyat di 56 DUN di Selangor yang dilaksanakan bermula 8 Mei lepas sehingga 10 Jun.

-- BERNAMA