MELAKA: Sanggup berpanas membaiki bumbung sekolah yang rosak dilanda ribut.

Itu yang dilakukan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi memastikan proses pembelajaran anak murid sekolah tidak terganggu.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negara itu berkata ia dilakukan untuk keselesaan proses pembelajaran murid di situ.

“Walaupun pancaran cahaya matahari sangat terik ia tidak menghalang semangat saya untuk membantu membaiki Adec yang rosak.

"Ini semua kerana kasih dan sayang saya kepada anak-anak murid yang dikasihi.

“Walaupun saya seorang bekas guru, tetapi semangat keguruan tetap tersemat di dalam hati dan jiwa saya.

"Kerana itu, apa yang saya lakukan ini adalah untuk keselesaan proses pembelajaran anak-anak memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Ini juga pengorbanan dan kasih sayang para guru kepada anak didikannya,” katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook malam tadi.

 
Sumber Facebook DSMohamadAliMohamad

Beberapa atap jubin di SK Kg Gelam mengalami kerosakan setelah di landa ribut pada Selasa.

Bertindak dari aduan orang ramai, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ali segera menyewa sebuah jentera berat ‘skylift’ bagi membaiki kerosakan tersebut.

Paling menarik beliau sendiri turut kelihatan menaiki jentera tersebut bagi membantu kerja-kerja pembaikan.