CABARAN utama seorang pengetua adalah untuk meningkatkan prestasi akademik sekolah yang dipimpinnya.
Walaupun banyak faktor lain yang melibatkan kemenjadian murid seperti sahsiah dan pencapaian kokurikulum, prestasi akademik tetap menjadi faktor utama yang dilihat oleh masyarakat.
Pengetua pula secara tradisional dilihat sebagai seorang individu yang sangat ‘skema’ dalam perwatakan diri, tidak begitu ‘friendly’, bertindak mengikut peraturan, dan sering digambarkan sebagai seorang yang garang.
Pengetua sering dilihat berbaju kemeja lengan panjang putih, berseluar kelabu dan berkasut kulit hitam.
Jarang sekali kita menggambarkan pengetua yang memakai t-shirt ‘round neck’ Hard Rock Cafe dan memakai seluar jeans.
Kepimpinan ‘Pengetua Pakai Jeans’
Jeans pada pendapat aku menggambarkan si pemakainya seorang yang mempunyai gaya hidup agak santai, ringkas dan dikaitkan dengan gaya pemikiran yang agak radikal.
Artikel ini membawa cerita seorang pengetua novis yang cuba membawa ideologi baharu di sekolah dan cuba mendekatkan diri dengan guru dan pelajar tanpa ada jarak pemisah yang terlalu jauh.
Aku cuba membawa ideologi seorang pengetua yang sentiasa boleh ‘berselfie’ dengan pelajar melalui pendekatan kepimpinan ‘Pengetua Pakai Jeans’ ini.
Cikgu Naha bukan pengetua cemerlang, bukan pengetua JUSA C, bukan juga pengetua kanan. Dia bukan juga pengetua berhaluan kiri tetapi yang lebih penting Cikgu Naha sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah.
Cikgu Naha sekadar ingin berkongsi pengalaman menjadi pengetua di sebuah sekolah.
Kisah ini berlaku pada tahun 2014 ketika aku mula-mula jadi pengetua di 'The Chillies'. Sebahagian nukilan ini ialah petikan daripada buku "Pengetua Pakai Jeans" yang diterbit eksklusif 300 naskhah sahaja.
Sekarang Cikgu Naha pun dah Pengetua Cemerlang.
Happy reading, jangan serius sangat, sistem pendidikan Malaysia perlukan kegembiraan.
Jawatan idaman
Jawatan pengetua kini sudah ibarat goreng pisang cheese yang menjadi idaman ramai orang. Kalau tanya pak guard sekolah pun katanya dia nak jadi pengetua.
"Tak ada siapa boleh marah pengetua,” kata seorang pak guard.
Artikel ini ditulis sekadar ingin berkongsi pengalaman memimpin sekolah dan ia amat sesuai dibaca oleh penolong kanan, guru kanan, ketua panitia mahupun guru pendidikan jasmani yang menjadi penghuni tetap stor sukan.
Kehidupan aku sebagai guru adalah satu fasa kehidupan yang sangat menyeronokkan. Selepas beberapa bulan sebagai guru biasa, aku dilantik menjadi Penolong Kanan (PK) Kokurikulum, dan selepas tiga tahun aku dilantik pula menjadi PK Hal Ehwal Murid (HEM).
Namun, aku pasrah apabila mendapat panggilan menghadiri majlis perjumpaan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak. Aku tahu sudah tiba masanya aku dilantik menjadi pengetua sekolah.
Yang menjadi persoalannya sekolah mana dan di mana? Pagi Jumaat seawal jam 8.00 pagi, aku dan beberapa orang bakal pengetua sudah tercongok di depan bilik mesyuarat JPN.
Selepas taklimat, kami dipanggil untuk menerima surat lantikan.
‘Suspen’ seolah-olah nak menerima hukuman dalam perbicaraan. Apabila dimaklumkan En Naharudeen bin Othman ke SMK Changkat Lada, aku terus tersenyum kelat menerima surat lantikan dan minda aku terus menjadi kelam.
Ketika itu aku teringatkan seorang budak ragbi aku di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), si Kaduk yang pernah bersekolah di situ dan aku masih ingat apa yang dia maklumkan kepada aku.
"Teruk sekolah tu cikgu, nasib baik cikgu pilih saya masuk sekolah sukan.”
Ketika minda aku masih gelap orang sebelah aku pulak menambah.
"Teruk sikit sekolah tu, Naha. Dulu JPN nak buat program kecemerlangan pun mereka tolak.”
Kelam
Gelap segelap-gelapnya minda aku ibarat awan gelap yang akan menurunkan hujan lebat. Itulah persepsi pertama yang aku dapat tentang sekolah yang aku bakal jadi pengetua .
Petang itu juga aku bergerak ke PPD Perak Tengah untuk melapor diri dan dikejutkan lagi dengan gred purata sekolah dan band sekolah yang rendah.
Dalam semakan aku SMK Changkat Lada berada di tangga 2,047 dari bilangan 2,400 sekolah menengah di Malaysia.
Kata-kata KPPD mudah sahaja: “Kami harap cikgu dapat ubah sekolah itu” dan aku tahu itulah ayat ‘standard’ kepada mana-mana pengetua baharu.
Aku melangkah ke sekolah itu pada petang Jumaat dan bertemu dengan sekumpulan pelajar yang baru tamat kelas tambahan matematik.
"Not bad,” kataku, sekurang-kurangnya ada kelas tambahan.
Aku berbual mesra dan berkali-kali mereka bertanya: “Betul ke cikgu nak jadi pengetua kami?” Mungkin masih tak percaya mereka akan dapat pengetua yang muda dan ‘hipster’ macam aku.
Aku terus ke pejabat sekolah dan semua pun terkejut entah siapa pula yang masuk jadi pengetua sekolah mereka. Keluar dari pejabat sekolah, aku terpaku melihat tiang gol ragbi yang telah berkarat.
Barulah aku teringat sekolah inilah yang pada satu ketika mantan KPPM Datuk Dr Abdul Shukur Abdullah pernah berkata: “Tak ada yang mustahil dalam dunia pendidikan. Sebuah sekolah dalam Felcra pun boleh mengalahkan sekolah premier dalam sukan ragbi di Perak.”
Inilah sekolahnya.
Tiba tiba aku melihat cahaya di hujung terowong.
"This is my destiny."
Aku berjanji kepada diri aku untuk ‘transform’ sekolah ini menjadi lebih baik.
Transformer
Aku mula berkhidmat sebagai pengetua di SMK Changkat Lada dalam bulan Oktober 2014. Tidak banyak perubahan yang aku boleh buat dalam tahun tersebut, tetapi umumnya SMK Changkat Lada tidaklah seteruk mana.
Masalah utama adalah peratus kehadiran pelajar yang rendah dan minat untuk belajar juga rendah. Pelajar juga tidak ada sifat bangga akan sekolah mereka kerana sejak sekian lama masyarakat telah melabel sekolah ini sebagai sekolah yang berprestasi rendah.
Kemudahan yang ada memang ‘tip-top’ dan sekolah ini ada kemudahan yang sangat baik jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain.
Guru-guru tidak sukar untuk berubah, bahkan mereka mudah untuk respon kepada perubahan. Kumpulan pentadbir G9 juga tidak ada masalah, bahkan aku dapat lihat mereka sangat dahagakan transformasi dan sangat menyokong perubahan-perubahan kecil yang aku bawa.
Mungkin mereka sudah lama menantikan sebuah robot ‘Transformer’ untuk membuat perubahan di sekolah mereka.
Melalui pemerhatian dan percakapan, ada sekumpulan kecil guru yang sudah begitu lama duduk dalam ‘comfort zone.’
Aku perlu bijak agar proses transformasi yang akan dilaksanakan tidak terlalu mendadak dan membebankan guru-guru.
Banjir besar
Disember 2014, air Sungai Perak melimpah dan Daerah Kampung Gajah dilanda banjir besar. Beberapa hari aku pun tak dapat ke sekolah kerana jalan dinaiki air.
Banyak rumah guru di Kampung Gajah dinaiki air dan yang lebih menyedihkan ada guru yang sedang bercuti di kampung ketika itu. Sedih melihat bencana tersebut berlaku ketika sekolah hendak dibuka.
Aku melihat bencana ini secara positif dan menggunakannya sebagai peluang untuk aku membentuk pasukan yang mantap di SMK Changkat Lada.
Aku membentuk pasukan guru-guru untuk bergotong-royong menyelamatkan harta benda guru yang ditimpa musibah.
Sepanjang mereka berada di pusat pemindahan hampir setiap hari aku melawat dan bertanyakan khabar. Apabila air surut, aku menubuhkan skuad pembersihan yang terdiri daripada pelajar dan guru bergerak dari rumah ke rumah membantu tugas pembersihan.
Kami bukan sahaja membersihkan rumah guru-guru bahkan turut memberikan perkhidmatan kepada rumah-rumah yang lain.
Ketika sekolah dibuka, aku berasakan hubungan aku dengan guru-guru sangat rapat dan mesra. Aku juga melihat ada sebahagian guru yang masih bersedih dengan musibah yang melanda.
Menggunakan kaedah ‘reverse psychology’, aku membuat perancangan membawa rombongan sekolah untuk misi bantuan banjir ke Manik Urai.
Kenapa guru-guru dibawa ke Manik Urai? Aku ingin tunjukkan kepada mereka musibah yang melanda itu adalah hanya ujian kecil jika dibandingkan musibah di Manik Urai.
Alhamdulillah, misi ini berjaya dan kebanyakan guru kembali bersemangat untuk bekerja.
The Chillies
Di SMK Changkat Lada, aku memperkenalkan logo korporat The Chillies dan juga maskot Transformers. Aku rasakan sekolah itu perlu diberi nafas baharu.
Bergeraklah kami dengan logo The Chillies dan maskot Transformers.
Pada mulanya aku memperkasakan pasukan sukan sekolah dengan membenarkan mereka berlatih di sebelah pagi dan perjumpaan kokurikulum juga dipindahkan ke sebelah pagi.
Aku melihat fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah menimbulkan keseronokan kepada guru dan pelajar untuk hadir ke sekolah.
Maka moto sekolah “My School, My Playground” diperkenalkan kepada warga sekolah.
Langkah yang dilaksanakan itu adalah merupakan langkah perubahan yang agak drastik dan guru-guru mula sangsi dengan arahan Melindungi Masa Instruksional (MMI).
Aku menjelaskan kepada guru-guru ada transformasi besar sedang dilaksanakan, maka ketidakhadiran pelajar dan guru di bilik darjah dengan berlatih sukan pada sebelah pagi adalah untuk mencipta kejayaan sekolah.
Harapan aku agar kejayaan yang diperoleh dalam bidang sukan akan melahirkan rasa bangga dan sayangkan sekolah dalam jiwa warga sekolah.
Pada pendapat aku berlatih sukan pada sebelah pagi adalah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kerana murid belajar dan guru mengajar.
Lagipun hanya sebahagian kecil sahaja pelajar terlibat dengan latihan sukan itupun secara berperingkat.
Strategi ini membawa impak yang baik bila mana pencapaian pasukan sukan sekolah meningkat. Pasukan sepak takraw dan kriket muncul sebagai JOHAN daerah dan pencapaian beberapa sukan lain juga meningkat jika dibanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
Aku turut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah dalam beberapa kejohanan sukan. Antara kejohanan sukan yang The Chillies menjadi tuan rumah adalah Kejohanan Merentas Desa Daerah dan juga Kejohanan Ragbi Daerah.
Pasukan ragbi sekolah juga telah berjaya layak ke separuh akhir dalam kejohanan tersebut. Aku mendapat tahu pada tahun tersebut Daerah Perak Tengah terpilih untuk menganjurkan Kejohanan Ragbi MSS Negeri Perak. Aku mengambil peluang menawar diri menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Sudah tentu warga The Chillies tidak pernah terfikir yang sekolah mereka akan menjadi tuan rumah kepada sebuah kejohanan besar dan padang sekolah menjadi pentas perlawanan akhir antara dua daerah iaitu Kinta Utara (STAR) dan Kuala Kangsar (MCKK).
Kejayaan sekolah menjadi penganjur untuk kejohanan tersebut menjadi titik permulaan keyakinan guru dan pelajar sekolah yang tidak pernah diberi perhatian sebelum ini mampu menganjurkan sebuah kejohanan besar dengan jayanya.
Semasa perlawanan akhir ramai penyokong kedua-dua pasukan dari Kuala Lumpur dan Ipoh telah hadir di SMK Changkat Lada dan mereka memberi pujian diatas penganjuran kejohanan yang baik.
The Winning Mentality
Untuk memastikan semangat The Chillies terus membara, strategi yang aku gunakan adalah dengan membekalkan t-shirt The Chillies kepada guru dan juga pelajar yang mewakili sekolah.
Pada mulanya setiap pelajar yang mewakili sekolah perlu membeli t-shirt tersebut dengan harga RM10, tetapi akhirnya diberikan secara percuma sahaja.
Strategi menawarkan pelajar yang berjaya menjadi johan daerah ataupun mewakilli daerah ke Lost World of Tambun turut digunakan untuk meningkatkan motivasi pelajar.
Ketika membuat tawaran tersebut aku sebenarnya masih belum mempunyai sumber kewangan, tetapi aku merasakan motivasi sebegini amat penting untuk pelajar The Chillies.
Aku tekad sahaja membuat tawaran tersebut dengan keyakinan ada pihak yang akan membantu.
Strategi penawaran menjadi tuan rumah yang aku gunakan semasa kejohanan ragbi nampaknya mula meyakinkan guru-guru bila Ketua Bidang Sains dan Matematik datang berjumpa aku untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah karnival sains peringkat daerah.
Aku memberi syarat jika hendak tawarkan diri jadi tuan rumah maka pasukan sekolah perlulah membuat persediaan yang mantap. Tanpa diduga sekolah kami muncul sebagai juara keseluruhan mengatasi banyak sekolah yang lebih baik dari kami.
Ramai yang tidak tahu rahsia kejayaan kami menjadi johan ialah dengan menggunakan khidmat pembantu makmal yang berkelulusan diploma kejuruteraan mekanikal. Dia telah mendapatkan bantuan rakan di Politeknik untuk membantu pelajar dan guru menghasilkan projek-projek sains.
Networking yang baik telah memainkan peranan besar untuk membawa kejayaan The Chillies.
SMK Changkat Lada juga mempunyai seorang guru yang aktif dalam pergerakan Pandu Puteri dan sering keluar meninggalkan sekolah untuk terlibat dalam berbagai program.
Melihat peluang yang ada aku mengenakan syarat sekiranya beliau ingin dapat kebenaran untuk mengikuti program Pandu Puteri beliau perlu membawa seorang pelajar untuk mengikuti program antarabangsa dan membawa pasukan Pandu Puteri sekolah ke Jambori peringkat antarabangsa di Langkawi.
Guru berkenaan telah menyahut cabaran aku dan seorang pelajar SMK Changkat Lada telah menyertai Jambori Antarabangsa di Korea dan sekumpulan pelajar juga turut menyertai Jambori Antarabangsa di Langkawi.
Penjenamaan semula
Pencapaian-pencapaian ini telah aku gembar-gemburkan dalam perhimpunan mingguan dengan pelajar. Dalam program-program yang dianjurkan PPD dan JPN, pelajar The Chillies sudah mampu menonjolkan diri dan mereka sangat berbangga dengan penjenamaan semula The Chillies.
Aku turut mendapat berita sekumpulan pelajar telah memarahi pelajar sekolah lain dengan kata kata: ”Kami cabaikan mulut kamu kalau kamu kutuk sekolah kami.”
Berita-berita sebeginilah yang aku tunggu-tunggu dan dalam satu seminar pendidikan, aku dijemput untuk minum pagi bersama penceramah. Apabila aku memperkenalkan diri sebagai Pengetua The Chillies mereka terus mengucapkan tahniah dan menyatakan pelajar aku sangat aktif dalam seminar tersebut.
Secara teorinya apa yang aku laksanakan adalah mewujudkan ‘The Feel Good Factor’ ataupun ‘The Winning Mentality’ kepada warga The Chillies.
Apabila ‘mindset’ warga The Chillies telah dibetulkan maka barulah transformasi yang lebih besar dapat dilaksanakan.
Melaksanakan perubahan perlu disertai dengan ‘passion’ dan perasaan gembira untuk berubah. Dua faktor ini perlu ditanam dalam ‘mindset’ warga sekolah.
Faktor ‘win and win’ juga perlu diwujudkan dikalangan warga sekolah supaya mereka tidak tertekan dengan transformasi yang dilaksanakan.
Aku sebenarnya sangat bersyukur kerana ‘mindset’ warga The Chillies dapat ditransformasikan dalam masa yang singkat.
Menggunakan teori pembangunan bidang sukan, model pembangunan minda yang aku gunakan ini adalah model yang digunakan oleh negara New Zealand untuk membangunkan rakyatnya melalui sukan ragbi.
Di New Zealand mereka menggunakan pasukan ragbi All Blacks sebagai asas pembinaan jati diri rakyat mereka. Moto “A Better People for Better All Blacks” aku transformasikan kepada “ Better Teachers and Students for Better School.”
Transformasi yang berlaku di The Chillies bukanlah dilaksanakan secara sesuka hati. Transformasi yang berlaku adalah hasil perancangan yang teliti dan juga pengetahuan daripada bahan-bahan bacaan.
* Naharudeen Othman merupakan Pengetua Cemerlang yang kini bertugas di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti).
** Beliau sering mengkaji pelaksanaan konsep “the winning factor” dan “the feel good factor” sebagai resipi membangunkan sekolah melalui kejayaan dalam bidang sukan.
*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Naharudeen Othman
Sun Feb 24 2019
Langkah mewujudkan The Feel Good Factor ataupun The Winning Mentality dalam kalangan warga The Chillies menampakkan kejayaan yang diidamkan.
Rusia pertimbang penerbangan terus dengan Brazil, Malaysia, Pakistan
Kementerian Pengangkutan Rusia sedang mengadakan rundingan untuk melancarkan penerbangan terus ke Brazil, Malaysia, dan Pakistan.
Tumpuan Isnin – 23 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Siasatan undang-undang tentera: Polis analisis rekod telefon Presiden Yoon
Polis menganalisis rekod telefon peribadi Yoon Suk Yeol selepas mendapatkannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal awal bulan ini.
10 Berita Pilihan - (22 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Polis selamatkan dua OKU warga China dijadikan pengemis
Polis menyelamatkan dua Orang Kurang Upaya (OKU) warga China yang dipercayai dijadikan sebagai pengemis.
Op Gempur: JAS Pulau Pinang periksa 250 premis, loji kumbahan sepanjang 2024
Sebanyak 250 premis dan loji kumbahan diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sepanjang tahun ini menerusi 12 siri Op Gempur melibatkan semua lima daerah dalam negeri ini.
46 kes tidak patuh SHMMP di Johor tahun ini
Sebanyak 46 kes tidak mematuhi peraturan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dengan jumlah kompaun RM5,100 direkodkan di Johor tahun ini.
Tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta penerima Zakat Pulau Pinang
Tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas mendakwa ditipu tuan rumah di sini adalah penerima Zakat Pulau Pinang (ZPP).
KPDN Kelantan rampas pelbagai barangan seludup, barangan kawalan bernilai lebih RM6.8 juta
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan seludup dan barangan kawalan dianggarkan bernilai lebih RM6.8 juta sejak awal Januari hingga semalam.
AWANI Tonight: Honda, Nissan begin merger talks, set to form the world’s third-largest automaker
Honda and Nissan are officially exploring a merger to create a joint holding company, with a goal of reaching $191 billion in combined sales.
Kreatif! Beg tote dari jeans terpakai jana pendapatan penduduk Bongawan
Walaupun tidak mempunyai ilmu rekaan yang tinggi, namun pelbagai corak dengan kombinasi warna yang menarik, telah berjaya dihasilkan oleh peserta.
The Chillies - Kisah kejayaan pendekatan Pengetua Pakai Jeans
Kejayaan sekolah menjadi penganjur kejohanan menjadi titik permulaan keyakinan guru dan pelajar sekolah yang tidak pernah diberi perhatian sebelum ini mampu menganjurkan sebuah kejohanan sebesar itu.
Anak muda usaha tukar persepsi terhadap jenama tempatan
Pengasas Tarik Jeans, Afiq Iskandar, berkata walaupun terdapat banyak jenama jeans keluaran tempatan, namun tidak banyak yang benar-benar memberi perhatian kepada kualiti dari segi reka bentuk.
Wanita memakai jeans penyebab gempa bumi - Ulama Pakistan
Maulana Fezlur Rahman turut meminta operasi ketenteraan dijalankan bagi bertindak ke atas wanita yang memakai seluar tersebut.