Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan dua lagi sekali lagi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen ekoran pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baharu sebagai membantah kenaikan harga barang serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut laporan The Malaysian Insider, Hakim Ahmad Bache keputusan itu dibuat kerana beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April iaitu hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak mengikut perlembagaan.

“Oleh itu, dakwaan itu tidak berasas dan saya melepaskan tertuduh tetapi tidak dibebaskan,” katanya.

Chegubard, Edy Nor Reduan dan Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 April lepas setelah mahkamah mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan menerima waran supaya hadir di mahkamah untuk didakwa semula berhubung perhimpunan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja antara pukul 9 malam, 31 Disember 2013 dan pukul 1 pagi 1 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Dang Wangi, 10 hari sebelum tarikh perhimpunan dan oleh itu, melanggar perintah mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Mereka dituduh pada 29 Januari tetapi dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 28 April.

Pendakwaan ke atas tiga aktivis itu mengulangi apa yang berlaku ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sama sekali lagi selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan pada 25 April lalu membebaskan Nik Nazmi daripada tuduhan gagal memberi notis 10 hari kepada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan Black 505 di Stadium Kelana Jaya pada Mei tahun lalu.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya memutuskan Seksyen 9(5) akta berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan itu di luar batas Artikel 10 yang menjamin kebebasan berhimpun.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu dirayu oleh pihak pendakwaraya dan sementara menunggu rayuan itu, Peguam Negara mengemukakan pertuduhan yang sama sekali lagi ke atas Nik Nazmi di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 6 Mei lalu.

Hakim bagaimanapun melepas tanpa membebaskan pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat itu, antara lain, kerana undang-undang tidak membolehkan seseorang didakwa dua kali atas tuduhan yang sama.