Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan menarik diri daripada bertanding di kerusi tersebut.

Desas-desus itu timbul selepas ada cerita kononnya beliau mahu memberi laluan kepada penyandang kerusi tersebut, Datuk Ibrahim Ali melawan calon Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Che Johan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, merupakan anak didik Ibrahim dalam politik dan khabar angin itu mengatakan beliau kononnya tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak mengenang budi.

Ketika dihubungi oleh Astro Awani, Che Johan menegaskan tidak timbul soal beliau memberi laluan kepada Ibrahim
kerana sebagai ahli parti beliau patuh dengan keputusan pimpinan UMNO yang mencalonkannya bertanding di kerusi berkenaan.

"Saya tetap akan bertanding dan akan menyerahkan borang pencalonan esok (Sabtu) di pusat penamaan calon. Soal tarik diri tidak timbul langsung.

"Tok Him (Ibrahim Ali) memang guru saya dalam bidang politik tetapi sebagai ahli parti saya patuh dengan keputusan pimpinan yang mahukan saya bertanding," katanya.

Beliau yang pertama kali dicalonkan bertanding dalam pilihan raya turut yakin akan menang pada 5 Mei nanti.
Che Johan juga sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chetok, salah satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Pasir Mas.

Pada PRU-12, Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas menang mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.

Beliau baru-baru ini mengumumkan akan tetap bertanding mempertahankan kerusi berkenaan dan menganggap kemungkinan sebab beliau 'dihalang' daripada bertanding atas tiket BN mungkin kerana kedudukannya sebagai Presiden Perkasa yang dilihat sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang rasis.

Ketegasan beliau itu membayangkan kerusi Parlimen Pasir Mas bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Ibrahim. -- Laporan tambahan oleh Marlina Manaf di Kota Bharu.