ALOR SETAR: Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn Bhd (MADACorp) Abdullah Ismail memohon maaf berkenaan isu dia dikatakan tidak menyambut salam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada satu acara di sini Isnin lepas.

Abdullah berkata dia telah bersalam dengan Mohamad sebaik sahaja menteri itu keluar dari kenderaan dan mengiringinya bersalam dengan pegawai-pegawai yang lain.

"Ketika mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan saya.

"Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah berkata dia dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan tidak menyambut salam sekali lagi daripada Mohamad dan berharap penjelasan serta permohonan maafnya diterima semua pihak yang terasa dengan perbuatan itu.

Terdahulu, tular video yang menyaksikan Abdullah seolah-olah enggan bersalaman dengan Mohamad ketika Program Sentuhan Madani di sini yang mendapat reaksi daripada warga maya.

-- BERNAMA