KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengesahkan pembinaan fizikal Kapal Tempur Pesisir (LCS) sedang dilaksanakan.

Menurut Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman, sebahagian besar hull (badan) kapal-kapal tersebut dibina di Lumut Shipyard, Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau yang menyatakan terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan TLDM, mengakui berulang-kali turun ke Lumut Shipyard bagi melawat projek itu.

"Di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama (concurrently). Bukan bina satu, deliver satu.

"Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal sekali harung," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Selasa. 

Beliau juga menerangkan berhubung RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion yang telah dibayar.

"Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progress pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55%? 

"Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order (secara pukal) lebih murah berbanding beli satu-satu. 

"Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis, " katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Ahmad Nazim dilantik sebagai CEO LTAT berkuat kuasa 15 Jun 2021, menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang meletakkan jawatan pada 30 April 2021, bagi menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu.

Ahmad Nazim turut menyatakanc, RM9 bilion adalah untuk enam kapal di bawah kontrak asal, bermakna harga untuk satu kapal dianggarkan RM1.5 bilion.

"Mesir membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga belanja hampir RM1.9 bilion untuk satu LCS dan Amerika Syarikat membina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebuah, sebab lebih canggih.

"Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal TLDM yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

"Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini dan maklumat ini ada dalam laporan PAC, " jelasnya.


Bagaimanapun, Ahmad Nazim berkata, di sebalik bebanan itu, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka banyak peluang pekerjaan.

Antaranya, kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera dan lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang, dengan nilai projek lebih RM4 bilion, serta ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor.

"Projek ini terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi kabinet pada April 2022 memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan pilihan yang paling murah.

"Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tiga pilihan termasuk pelan penstrukturan semula BNS yang diteliti pihak kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk Jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan," ujarnya.