Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian terdapat barangan milik mangsa hilang.
Namun kata Abang Zainal dalam kenyataannya, tiada kesan pecah masuk di rumah tersebut, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak forensik.
“Tindakan yang akan diambil termasuk mendapatkan makluman daripada saksi kejadian termasuk merakam percakapan anak mangsa.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian juga akan dibuat,” katanya.
Menurutnya, anak mangsa akan diletakkan di bawah penjagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara siasatan dijalankan.
“Kes ini telah dimaklumkan kepada pihak Konsulat Indonesia di Sarawak dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada Ahad, seorang wanita warga negara Indonesia ditemui mati di rumah sewanya dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Mangsa dikenali sebagai Dea Noviyanti, 35, dipercayai berasal dari Kalimantan Barat, tinggal bersama anaknya berusia lima tahun di rumah tersebut.
Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya.
BACA: Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh kejam
Katanya, kejadian itu disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.
Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan luka besar di leher disyaki dikelar dengan senjata tajam.