TASEK GELUGOR: Muhammad Azib Mohamad cemas sebaik mendengar jeritan isterinya sejurus melihat seluruh tubuh kakaknya disambar api selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di kediaman mereka di Taman Sena Permai, Pokok Sena, di sini, pagi tadi..

Dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi itu, kakak Muhammad Azib, Siti Hajar Hanis, 26 melecur hampir 70 peratus di bahagian badan akibat disambar api.

Menceritakan tragedi itu, Muhammad Azib berkata, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di tingkat atas rumah sebelum terjaga akibat dihempap runtuhan atap genting.

Ketika berusaha menyelamatkan diri, dia mendengar jeritan isteri di tingkat bawah rumah  yang memaklumkan tubuh kakaknya yang sedang terbakar.

“Apabila saya turun, saya dapati isteri sedang membantu kakak menanggalkan pakaian di tubuhnya yang sedang terbakar. Kakak mengalami luka melecur hampir 70 peratus pada bahagian badan.

“Pada waktu itu, kakak masih berada dalam keadaan sedar dan masih boleh berjalan” jelas Muhammad Azib.

Susulan itu, dengan bantuan jiran, kakak Muhammad Azib dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk menerima rawatan manakala dia dan isterinya hanya mengalami luka-luka kecil akibat dihempap bumbung yang runtuh.

“Sebelum kejadian, kakak hendak menggoreng ikan. Sememangnya menjadi rutin harian kakak bangun dan memasak di waktu pagi sebelum bekerja dari rumah,” katanya lagi.




Muhammad Azib dan isterinya baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu di rumah keluarga mertuanya di Raub Pahang.

“Saya baru bawa isteri balik ke sini semalam (Isnin). Pada mulanya saya bercadang untuk singgah di Cameron Highland sebelum balik ke sini, namun membatalkan hasrat tersebut dan terus balik sini semalam.

“Mujur saya terus balik, kalau tidak, tak tahu macam mana keadaan kakak jika  berada  seorang diri di rumah”, katanya  ketika ditemui hari ini.

Malah, menurut Muhammad Azib, kakaknya juga bakal melangsungkan perkahwinan pada Januari depan.
Sementara itu, jiran mangsa, Nurfarina Sukri, 26, mendakwa terdengar letupan yang sangat kuat menyebabkan mereka sekeluarga berlari keluar dari rumah.

“Masa awal terdengar dentuman yang sangat kuat, lepas tu dengar barang-barang jatuh  dan kami sekeluarga  berlari keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Memang tengok keadaan mangsa sangat teruk dengan luka melecur seluruh badan. Bapa saya serta beberapa jiran datang membantu,” ujar Nurfarina.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, seorang wanita melecur hampir keseluruhan badan manakala hampir keseluruhan  struktur bangunan rumah teres dua tingkat itu  mengalami kerosakan dipercayai akibat letupan gas memasak LPG.

Selain itu, sebuah kereta serta sebuah motosikal yang di parkir di ruang hadapan rumah turut mengalami kerosakan.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.