KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) Co-opbank Pertama (CBP) bagi tahun kewangan 2020 pada Selasa (23 Ogos).

Pengerusi CBP Kamari Zaman Juhari berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta, naik 15.9 peratus dari RM73.9 juta pada 2019.

"Jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 1,039 anggota baharu, dengan jumlah keseluruhan anggota pada 2020 sebanyak 92,459.

"Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP terutamanya semasa mendepani suasana pertumbuhan perniagaan yang agak perlahan dalam tempoh pandemik COVID-19," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

BACA: CBP lulus 47,413 permohonan moratorium PEMULIH

BACA: 
CBP mahu terus jadi institusi perbankan koperasi pilihan

Dalam pada itu, Kamari Zaman berkata, pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 yang berjumlah lebih RM58 juta itu merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak 1950.

"Bagi tahun 2020, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM58.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 28.7 peratus berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM45.3 juta.

"Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak.

"Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Dis 2020," jelasnya.

Tambah Kamari Zaman, kadar dividen bersih bagi tahun 2020 adalah sebanyak 6.7 peratus bagi syer keutamaan iRCPS dan 6.0 peratus bagi syer biasa.

"Pembayaran dividen ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan anggota CBP dan pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan CBP, secara dalam talian melalui laman sesawang CBP atau melalui aplikasi mobil MyCoopbank bermula 27 Ogos ini," ujarnya.

Jelasnya, kelewatan pengumuman dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 adalah disebabkan penukaran juruaudit yang dilantik.

Katanya, ia memerlukan proses pelantikan dilaksanakan semula yang perlu mendapatkan kelulusan daripada pengawal selia.