SEPANG: Syarikat penerbangan boleh mula mengenakan caj levi karbon sebaik sahaja pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dimuktamadkan pada April depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementerian secara prinsip telah memberi kelulusan kepada syarikat penerbangan untuk menggenakan caj tersebut.

"Ia bergantung kepada perancangan syarikat penerbangan sendiri untuk mengutip cukai karbon. Tetapi, sebelum mereka boleh memulakan cukai berkenaan, kita perlu meminda beberapa kod etika dari segi perlindungan pengguna di bawah Mavcom menjelang April," katanya dalam sidang media selepas melancarkan tambang tetap AirAsia sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata sebaik sahaja levi karbon diperkenalkan, terpulang kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mengenakan bayaran kepada penumpang masing-masing.

Ditanya mengenai keputusan Singapura mewajibkan syarikat penerbangan yang berlepas dari Republik itu menggunakan sekurang-kurangnya satu peratus bahan api penerbangan mampan (SAF), beliau berkata: "dasar kita berbeza daripada Singapura. Singapura mewajibkannya.

"Sebaliknya, kita (Malaysia) menjadikannya sebagai pilihan."