KOTA KINABALU: Selain daripada faktor cuaca, kekurangan pesanan makanan menjadi antara cabaran yang dihadapi penghantar makanan di bulan Ramadan.

Menurut Hamid Ahad, pada kebiasaannya, menjelang berbuka puasa menjadi waktu puncak pesanan makanan diterima.

Berikutan tidak menang menghantar tempahan pelanggan, penghantar makanan sepertinya hanya berbuka puasa dengan seteguk air sahaja.

"Cabaran itu terlalu banyak, pertama sekali dalam puasa cuaca tidak menentu, begitu juga dengan tempahan yang diterima (juga mencabar). Daripada pagi memang kurang tempatan, kebanyakan tempahan diterima daripada pukul 5 petang hingga waktu berbuka,” katanya berkongsi pengalaman.



JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Hamid yang sebelum ini bertugas sebagai seorang anggota Rela berkata, sudah lebih setahun dia memilih kerjaya sebagai penghantar makanan di sekitar Kota Kinabalu.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun, katanya, ada momen-momen yang menyentuh hati dan menjadi pembakar semangat ketika bertugas dilaluinya.

Antaranya, kata Hamid, kebaikan para pelanggan yang membuatkan dia sangat-sangat berterima kasih dan bersyukur.

Cerita Hamid, pernah dia melalui pengalaman menghantar makanan lewat beberapa minit selepas azan berkumandang.

“Apabila hantar makanan, pelanggan tanya saya dah berbuka puasa ke belum. Saya cakap sempat minum air saja. Bila dengar saya cakap macam itu, pelanggan kasihan, dia akan bagi lebih tip (upah) untuk saya beli makanan berbuka.

“Saya rasa sangat bersyukur, sebenarnya tak pernah harap pun, tapi (itu) rezeki daripada Allah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hamid berharap agar nasib golongan penghantar makanan sepertinya diberi perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.