PETALING JAYA: Akibat mencuri dua helai seluar dalam milik seorang wanita di sebuah rumah, seorang buruh binaan didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas Liew Chee Hoong ,45, selepas dia mengaku bersalah mencuri dua helai seluar dalam seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara pada 6 petang, 23 Feb lepas.

Liew dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan tersebut manakala Liew yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia tiada pendapatan tetap.

-- BERNAMA