PETALING JAYA: Seorang buruh binaan warga Bangladesh didakwa membunuh seorang wanita Indonesia, yang ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik hotel bajet, dua minggu lalu.

MD Shimul Babu, 23, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas satu pertuduhan membunuh Nurhayati, 39, di sebuah bilik hotel, di Taman Mawar, Puchong di sini pada jam 10.12 malam, 31 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan, memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah, di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada jam 4.30 petang, 3 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pada 1 Januari lalu, seorang wanita warga asing ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hotel bajet di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemukan pekerja hotel pada jam 9 malam sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. -- Sinar Harian