LAHAD DATU: Bila bercakap tentang juadah berbuka puasa, 'Buko Pandan' salah satu pilihan utama di bulan Ramadan buat masyarakat di pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu.

Keenakan dan rasa manis selain pewarna hijau pandan yang mengiurkan pasti membuatkan bukan sahaja masyarakat Islam yang berkunjung ke bazar ramadan beratur untuk mendapatkannya.

Malah, juadah baharu itu mendapat tempat selain daripada kuih muih dan pencuci mulut tradisional yang lain.

Bagi Shadam Abu, yang sinonim dengan pembuatan Buko Pandan memberitahu, hidangan daripada gabungan sago, jeli pandan dan kelapa manis selain dihidangkan dalam keadaan sejuk cukup menyelerakan.

"Kalau buko ini sebenarnya kelapa... setiap kali resepi buko pandan ini dia mesti gabungan sago, jeli pandan dan juga kelapa," katanya.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Bila ditanya soal resepi, Shadam tidak kedekut untuk berkongsi resepi yang mana bahan digunakan amat mudah.

Keistimewaan buko pandan Shadan adalah agar-agar dan jeli pandan yang digunakan disediakan secara manual dan mengambil masa.



"Saya yang tidak bekerja dan mahu mencari pendapatan ternampak di Facebook mengenai buko pandan ini. Bagi saya ia unik dan mampu dikomersialkan dan saya mengambil keputusan untuk belajar serta menjualnya," katanya.

Juadah buko itu tidak hanya terhad kepada pandan sahaja tetapi boleh ditukar kepada buah-buahan lain seperti mangga dan durian.

Namun disebabkan buah-buahan itu bermusim dia mengambil keputusan untuk hanya membuat buko pandan.

Walaupun tidak menjual di bazar ramadan, tetapi permintaan terhadap Buko Pandan cukup tinggi.

Laku keras jualan yang dibuat secara dalam talian sejak 2017 lagi.