Bukan hanya menjadi tumpuan ketika berbuka puasa, kurma juga dijadikan amalan oleh sebilangan besar umat Islam ketika bersahur.
Di sebalik pengambilan buah kurma, tahukah anda bahawa terdapat lebih 400 jenis kurma di pasaran?
Bersempena Ramadan, Astro AWANI mengupas secara mendalam khasiat di sebalik kurma dan apakah kurma paling laris di Malaysia.
Mengandungi nutrisi yang baik untuk tubuh badan, kurma kaya dengan kalori, karbohidrat, vitamin, mineral dan serat serta antioksidan yang menjadi pelindung daripada pelbagai penyakit berbahaya.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Berikut khasiat kurma yang anda perlu tahu:
Sumber serat
- Dapat melancarkan saluran pencernaan dan mencegah sembelit. Secara saintifik, jika seseorang itu makan tujuh biji kurma setiap hari dapat membantunya membuang air besar secara teratur.
Fruktosa
- Kurma juga dapat mengawal gula dalam darah kerana mempunyai kandungan fruktosa yang baik untuk tubuh badan. Fruktosa merupakan jenis gula semula jadi yang ada dalam buah.
Antioksidan
- Kurma mengandungi antioksidan yang tinggi dikenali sebagai flavonoid. Fungsi antioksidan ini dapat mengurangkan risiko diabetes, alzheimer dan kanser.
Meningkatkan daya ingatan
- Kajian menunjukkan individu yang makan kurma dapat mengurangkan inflamasi pada otak sekali gus mengurangkan risiko penyakit alzheimer. Ia juga dapat meningkatkan daya ingatan.
Kesihatan tulang
- Kurma mengandungi mineral iaitu fostor kalium, kalsium dan magnesium yang dapat menguatkan tulang anda daripada penyakit osteoporosis.
Kesihatan seksual
- Tahukah anda, kurma juga mempunyai kadar estradiol dan flavonoid yang tinggi. Ini berita baik untuk kaum Adam kerana ia dapat meningkatkan jumlah dan kualiti sperma anda!
Kurma popular di Malaysia
Namun, tahukah anda, Kurma Ajwa dan Kurma Mariami antara paling popular di Malaysia?
Menurut Zakaria Abdull, 59, peniaga kurma sejak enam tahun lalu, dua jenis kurma itu menjadi buruan umat Islam terutama ketika Ramadan.
Jelasnya, meskipun lebih 400 jenis kurma di jual di pasaran, namun kurma Ajwa dan Mariami mempunyai tekstur yang diminati rakyat Malaysia.
"Kalau secara amnya, ada lebih 400 jenis kurma seperti di Arab Saudi, Iran, Iraq, Tunisia termasuk di California, Amerika Syarikat turut ditanam pelbagai kurma antaranya kurma Medjool.
"Tetapi di Malaysia yang paling popular adalah Kurma Ajwa, selain itu Safawi, Anbar, Mabroum dari Arab Saudi.
"Selain itu paling popular kurma Mariami dari Iran, paling orang suka sebab teksturnya yang tidak terlalu kering dan liat serta kurang manis," katanya.
Kurma Ajwa
Kurma pertama kali ditanam oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi kurma kegemaran baginda kerana mempunyai manfaat luar biasa buat kesihatan tubuh badan.
Bersaiz sederhana, kurma Ajwa berasal dari Arab Saudi ini mempunyai isi yang sangat lembut dan tidak terlalu manis seperti kurma lain.
Kurma Ajwa juga mengandungi nutrisi dan mineral yang mampu memperbaiki kesuburan lelaki dan wanita.
Dari sudut kesihatan pula, kurma Ajwa ternyata kaya dengan vitamin A, B, C, E, hingga K yang baik untuk sistem imunisasi badan serta mempunyai kandungan protein, asid folid, zat besi, kalsium, dan antioksida yang tinggi.
Kurma Mariami
Berasal dari Iran, kurma Mariami mempunyai tekstur yang lebut dan tidak terlalu kering.
Kaya dengan Protein, serat, glukosa, Vitamin A dan C, sodium dan potassium.
Kurma Mariami mempunyai kandungan gula yang mudah diserap badan serta memberikan tenaga segera ketika berbuka puasa.
Kandungan potasium pula penting untuk sistem saraf yang meransang daya ingatan, nafsu kelamin (aprodisiak) serta sistem imunisasi tubuh.
Jadi kepada anda di luar sana, dah tahu kurma mana menjadi pilihan anda?
Yang pastinya, ini adalah makanan sunnah, sambil kita mengejar ibadah di bulan penuh barakah ini, jangan dilupa kesihatan perlu dijaga dan pengambilan kurma adalah penyelesaian terbaik.
Semoga perkongsian kali ini memberi pengetahuan baharu buat anda semua.