KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor sedang giat melakukan pemantauan di sekitar Tasik Seksyen 7, Shah Alam susulan kemunculan seekor buaya di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata setakat ini reptilia tersebut belum berjaya ditangkap dan pihaknya akan memasang perangkap.

Jelas beliau, PERHILITAN Selangor telah mula memantau lokasi kejadian sejak petang semalam.

"Hari ini kita mula berbincang dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenai langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan.

"Hari ini ini juga kami pantau pergerakan buaya, pasang tape kesalamatan serta papan tanda amaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

https://www.facebook.com/shahalamcitycouncil/posts/pfbid03719Ejx1z8j9N9g4NbZC8GTCZ5pACQ8VAmgnSLwbTEw7Fk2XeJXYFd45TWkD4pCyVl

Mengulas lanjut, Wan Mohd Adib berkata seramai 15 anggota PERHILITAN Selangor telah dikerah ke lokasi kejadian, selain turut dihadiri oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Terdahulu, MBSA dalam kenyataan di Facebook mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti di Tasik Shah Alam, Seksyen 7 susulan tular dakwaan kemunculan seekor buaya di tasik berkenaan pada Isnin.

Sebagai langkah keselamatan, MBSA turut memasang tali pengadang di sekitar kawasan Tasik Seksyen 7, Shah Alam.