TAIPING: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal berusia 34 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes buang bayi perempuan yang baru dilahirkan dekat tepi Sungai Larut, Simpang, di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, pada sekitar jam 3.32 pagi semalam, pihaknya menerima laporan dari Bahagian Kecemasan Hospital Taiping berhubung seorang pesakit wanita warga Kemboja yang baru melahirkan anak.

Bagaimanapun, katanya, wanita tersebut mengatakan bayinya telah meninggal dunia dan tidak dibawa bersama ke hospital berkenaan.

"Mangsa dalam kejadian adalah seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dan disyaki telah dibuang.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping telah digerakkan bagi mengesan suspek dan berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Nepal dalam masa kurang 24 jam.

"Suspek telah menunjukkan tempat mayat bayi tersebut dibuang iaitu di kawasan tepi sungai, Larut, Simpang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang kanak-kanak dengan cara membuang mayat dengan sulit.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menyeru masyarakat daerah Taiping khususnya untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.