Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai berkata, persepsi yang perlu diperbetulkan ialah penyertaan Malaysia ke dalam blok tersebut tidak bermaksud kerajaan cuba menukar arah daripada pakatan ekonomi sedia ada.
Apa yang penting, jelasnya lagi, tindakan itu perlu dilihat dari sudut mempelbagaikan pilihan, selain membuka potensi perdagangan yang lebih besar dalam blok ‘Global South’.
“Penyertaan Malaysia (ke dalam BRICS) akan mencerminkan kedudukan kita sebagai sebuah negara yang yang bebas, termasuk berkawan dengan negara-negara dari pelbagai pihak, dan tidak bermusuh dengan sesiapa dari segi hubungan luar Malaysia.
“Walaupun sekarang ni terdapat tekanan dari pihak tertentu, yang sering (cuba) memastikan sama ada anda bersama kami atau anda menentang kami. Jadi ini adalah signal yang ingin kita tunjukkan kepada dunia luar,” katanya lagi.
Chong berkata demikian kepada kumpulan media Malaysia di sini pada Selasa, sebagai pembuka tirai kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Vladivostok, sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) yang akan berlangsung selama dua hari di Far East Federal University di sini, bermula Rabu.
EEF merupakan forum ekonomi tahunan anjuran Yayasan Roscongress, dengan tujuan khusus bagi menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.
Bertemakan ‘Combining Strength to Create New Potential’, sesi pleno EEF ke-9 itu bakal menyaksikan penghormatan yang diberikan kepada Anwar untuk menyampaikan ucaptama di hadapan wakil peringkat tinggi negara peserta, pembuat dasar, ahli akademik dan pemimpin industri.
Dalam pada itu media melaporkan, hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS pertama kali dizahirkan Perdana Menteri pada Jun lepas, dengan blok ekonomi itu dianggarkan menguasai satu per lima perdagangan global, serta mewakili 40 peratus populasi dunia.
BRICS, yang awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini disertai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu, dengan anggaran kira-kira 32 lagi negara telah menzahirkan minat untuk menyertainya.
Dalam pada itu Chong berkata, penyertaan Malaysia sama ada sebagai negara anggota, bakal memberi peluang kepada negara untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada Rusia, sebagai contoh dalam sektor perbankan Islam atau industri halal.
“Menyentuh mengenai hubungan kita dengan Rusia, Mereka datang kepada kita dan telah menunjukkan minat untuk mempelajari sistem kewangan Islam.
“Dan dalam konteks Rusia, mereka mempunyai populasi Muslim yang agak besar, malah ada sesetengah daerah yang mereka anggap sebagai daerah Muslim,” katanya lagi.
Chong berkata, penyertaan Malaysia ke dalam BRICS bakal dimuktamadkan dalam satu sidang kemuncak di Kazan yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Oktober depan.
Jelasnya lagi, Perdana Menteri akan mengambil peluang dalam perjumpaan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bersempena lawatannya ke Vladivostok, dan sekali lagi akan menzahirkan harapan Malaysia untuk diterima dalam blok ekonomi tersebut.