Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan bertujuan untuk memalaskan rakyat tetapi merupakan jaringan sosial rakyat dan cara kerajaan memindahkan kekayaan jangka pendek negara kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menjelaskan niat kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

"Ini bukan cadangan saya, ia cadangan jawatankuasa fiskal dan Bank Negara untuk tolong 40 peratus rakyat (berpendapatan rendah), bukan nak beli undi dan maksud politik tapi untuk tolong rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini hari ini.

Kenyataan Najib, yang juga Menteri Kewangan itu dilihat sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa pemberian BR1M memalaskan rakyat.

"Saya nak tanya tuan-tuan berapa ramai yang terima BR1M, adakah BR1M membuatkan anda pemalas? Adakah anda hendak BR1M diteruskan? Siapa tak mahu BR1M boleh pulangkan," kata Najib, sambil disambut dengan sorakan oleh kira-kira 15,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Beliau berharap pemberian BR1M tidak disalahgunakan dengan membeli rokok seumpamanya tetapi digunakan untuk membeli keperluan asas seperti susu dan beras.

"Kita (kerajaan) naikkan harga minyak (sebab) kita nak kurangkan subsidi. Bila harga minyak rendah, siapa untung? Penduduk untung tetapi ada ketirisan, jadi bila bagi BR1M, kita bagi kepada golongan yang betul dan tiada ketirisan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kebaikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dapat dilihat terutamanya menerusi pertambahan hasil dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula tahun depan dan seterusnya.

"Kalau kita (negara) tambah hasil, saya akan bentang dalam Belanjawan Negara supaya rakyat tahu apa hasilnya.

"Sudah 160 negara telah melaksanakannya. Tanpa GST, ramai orang akan mengelak daripada membayar cukai, jadi janganlah kita dengar hasutan pelbagai pihak," katanya sambil menyatakan kerajaan akan perbaiki pelaksanaan GST dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri berkata dasar ekonomi keperluan rakyat seperti melaksanakan PPR akan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Inilah satu dasar yang memindahkan kekayaan (negara) kepada rakyat. Di sebalik kewujudan projek ini, kita percaya dasar ekonomi dasar keperluan rakyat akan terus dapat diisi untuk rakyat.

"Sebab itulah, bila Datuk (Seri) Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor) meminta 20,000 unit rumah PPR lagi bawah RMK-11, saya bersimpati dan akan sedaya upaya menambah projek-projek perumahan khusus untuk Johor," katanya.

Najib berkata keutamaan itu juga selaras dengan apa yang diperjuangkan menerusi manifesto BN dalam pilihan raya umum lepas.

"Cuba bayangkan bila kita dapat rumah, takkanlah kita tak rasakan bahawa kualiti hidup kita lebih terjamin, kesihatan lebih baik, keselamatan lebih terkawal dan masa depan lebih meyakinkan," kata perdana menteri.

PPR Melana Indah dibangunkan menerusi dua fasa membabitkan nilai pembangunan kasar mencecah RM400 juta dengan fasa satu telah siap dan fasa dua dalam proses pembinaan.

Dengan sewa serendah RM124 sebulan bagi setiap unit, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 2,620 keluarga.

Setiap unit berkeluasan kira-kira 700 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air dan dianggarkan bernilai RM140,000.