Proses pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia‎ (BR1M) 2014 kali ini disifatkan lebih tersusun selain dekat di hati penerima.

Menteri Kewangaan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ia tanda keprihatinan Kerajaan selaras peralihan dasar pelaksanaan subsidi kepada golongan sasar.

"Secara keseluruhan, BR1M kali ini dijangka memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

"Istimewanya kali ini kita turut bayar ‎kepada 5 juta pemilik akaun. Bantuan itu akan terus masuk dan kita harap penerima dapat berbelanja sebaik mungkin," katanya.

Ahmad Husni berkata demikian semasa ditemui di pejabatnya di sini hari ini‎.

BR1M 2014 akan dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Pada hari berkenaan, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima secara serentak di seluruh negara.

Ia memastikan penerima tidak perlu menunggu lama seperti pemberian sebelum ini.

Bagaimanapun bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bayaran akan dilaksanakan melalui pemberian baucar secara berperingkat.

Ahmad Husni ‎berkata, konsep BR1M turut diaplikasi di luar segara selaras membuktikan Kerajaan sentiasa membantu meringankan beban rakyat‎ menampung kos sara hidup.‎

Jelasnya, program BR1M juga akan ‎diteruskan dengan konsep tambah baik yang akan diperkenalkan dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah model pemberian BR1M 2014 akan diubah pada masa depan supaya ia dilihat lebih praktikal, ini katanya;

"Sekarang kita lihat untuk menggunakan kad debit. Kita letak jumlah tertentu untuk satu bulan dan spesifik keperluan asas yang perlu untuk sesebuah isi rumah," ujarnya.

Tambah Ahmad Husni, di bawah BR1M 2014, Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia, (i-BR1M) dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 turut diperkenalkan.

"Penambahan nilai kali ini diharap meringankan beban hidup rakyat terutama golongan yang tinggal di bandar," jelasnya.

Katanya, peningkatan kelayakan pendapatan penerima daripada RM3,000 kepada RM4,000 memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan itu.