JOHOR BAHRU:Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila bayi lelaki mereka yang berusia setahun tujuh bulan terperangkap lebih 10 minit di dalam kereta semasa pasangan itu berhenti di sebuah stesen minyak di Taman Gemereh, Segamat, hari ini.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, PBK II Mansor Mohamad berkata enam anggota dan sebuah jentera digegaskan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan bayi itu selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6 petang.

Katanya sewaktu kejadian, ibu mangsa keluar untuk membuat bayaran di kaunter manakala bapanya mengisi minyak.

"Mangsa yang duduk bersendirian di kerusi penumpang hadapan dikatakan menekan butang kunci ketika sedang bermain, menyebabkannya terperangkap," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mansor berkata bomba mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk mengeluarkan mangsa, menggunakan peralatan khas, Multi-Purpose Air Bag.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan pada 6.40 petang, katanya.

-- BERNAMA