IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak membekukan 70 peratus cuti pegawai dan anggota bomba di negeri itu bagi menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Pengarahnya JBPM Perak Sayani Saidon berkata hanya 30 peratus daripada 1,270 pegawai dan anggota diberikan kelonggaran untuk bercuti sempena perayaan itu.

Beliau berkata sebagai persediaan dalam menghadapi kemungkinan sebarang malapetaka terutama kebakaran, ketika ini pihaknya telah meningkatkan pemeriksaan di pusat beli-belah, hotel dan inap desa.

"Sehingga kini 174 pemeriksaan menghapuskan bahaya kebakaran membabitkan ketiga-tiga premis berkenaan telah dilaksanakan, kerana ia merupakan kawasan tumpuan orang ramai semasa musim perayaan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Dan Berbuka Puasa Bersama Media Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri di sini malam tadi.

Sementara itu Sayani berkata JBPM negeri akan menempatkan anggota dan jentera di Plaza Tol Tapah, Kuala Kangsar dan Kamunting di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di negeri ini dari 8 sehingga 13 April ini sempena musim perayaan.bagi tujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan atau kemalangan di lebuh raya.

-- BERNAMA