Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah bersiap sedia dengan pelbagai kelengkapan logistik bagi menghadapi fenomena Monsun Timur Laut, yang dijangka melanda Kelantan, bulan ini.

Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata setakat ini 51 bot, tujuh lori dan 24 kenderaan pacuan empat roda disediakan sebagai persiapan ke kawasan yang dinaiki air.

"Kesemua aset dan peralatan operasi banjir yang diperlukan kini diletakkan dalam keadaan bersedia dan boleh digunakan pada bila-bila masa ketika banjir," katanya kepada pemberita di Kuala Besar di sini pada Isnin.

Dari aspek persediaan keanggotaan, Nazili berkata 1,475 anggota telah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi operasi menyelamat pada musim ini.

"Kita juga melakukan latihan kepada anggota dalam pengendalian bot dan teknik-teknik menyelamat di air dan menempatkan mereka di tempat strategik," katanya.

Sementara itu, JBPM Kelantan turut melakukan tinjauan di sekitar Kuala Besar pada Isnin untuk memberi nasihat dan pendedahan kepada penduduk sekitar dalam menghadapi musim banjir.



Nazili berkata kebanyakan penduduk di negeri ini mengambil langkah untuk berpindah di saat akhir dan setelah mereka merasa bahaya, malah keadaan akan menjadi lebih kritikal apabila berlaku pada waktu malam.

"JBPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP), dan kita boleh melaksanakan operasi dalam apa jua keadaan, tidak kira siang atau malam, tetapi pihak kami perlu menitikberatkan risiko dan tahap bahaya pada masa itu.

"Kita akan cuba sedaya upaya membantu masyarakat dalam kesusahan dan membawa mereka ke tempat selamat seperti di pusat pemindahan," katanya.

-- BERNAMA