SELEPAS dua kali dibatalkan, kapsul angkasa Boeing Starliner akhirnya berjaya dilancarkan ke angkasa lepas dengan ia membawa dua kru.


Ringkasan AI
  • Selepas dua kali batal, kapsul angkasa Boeing Starliner akhirnya dilancarkan ke angkasa lepas dengan membawa dua kru, Barry Wilmore dan Sunita William, yang merupakan angkasawan NASA.
  • Kapsul ini dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida menggunakan roket Atlas V oleh United Launch Alliance (ULA).
  • Kos untuk seorang angkasawan menggunakan Starliner ialah sekitar $90 juta, jauh lebih mahal berbanding $55 juta menggunakan Crew Dragon.


Misi pertama membawa kru manusia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ini tiba lewat 7 tahun sedangkan projek kapsul angkasa lepas ini telah dimulakan sejak 2010.

Kapsul Starliner dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida menggunakan roket Atlas V oleh United Launch Alliance (ULA).

Dua kru yang menyertai misi ini ialah  Barry Wilmore dan Sunita William yang merupakan angkasawan NASA.

Starliner kini dalam perjalanan ke ISS dan kru akan kembali semula ke bumi dalam masa seminggu.

Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu.

Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.

Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion.

Tujuan asal program kapsul komersial ini dibangunkan ialah untuk mengurangkan kos menghantar angkasawan ke ISS.

Tetapi kini kos untuk seorang angkasawan menggunakan Starliner ialah sekitar $90 juta yang jauh lebih mahal berbanding $55 juta menggunakan Crew Dragon.

Setiap kapsul Starliner boleh membawa sehingga 7 orang angkasawan dengan ia boleh digunakan sehingga 10 kali.

NASA menggunakan dua sistem berbeza bagi memastikan jika satu sistem menghadapi masalah, terdapat sistem sandaran.

Keperluan untuk sistem kapsul semakin genting selepas hubungan Amerika Syarikat dengan Rusia kini semakin tegang.

Penghantaran menggunakan kapsul Soyuz tidak lagi boleh dilakukan di masa hadapan kerana Rusia tidak akan meneruskan kerjasama dan bakal membina stesen angkasa mereka sendiri seawal 2027. -Amanz