Ringkasan AI
- Perangkap Hutang BNPL: Skim Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) sering kali mengandungi promosi jualan yang menggiurkan dan kontrak yang kompleks, menyebabkan pengguna terperangkap dalam hutang tanpa menyedarinya. Keperluan RUU Kredit Pengguna: Penganalisis menekankan bahawa perangkap-perangkap ini menunjukkan keperluan untuk Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna bagi melindungi pengguna daripada risiko kewangan yang tidak diingini. Pemantauan dan Pendidikan Pengguna: Terdapat cadangan untuk mewujudkan mekanisme pemantauan kredit dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai risiko BNPL, termasuk memahami kontrak yang ditandatangani dan mengelakkan ketagihan membeli-belah dalam talian.
Penganalisis berpandangan, perangkap-perangkap itu merupakan justifikasi kepada keperluan Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna.
Naib Presiden dan Penasihat Undang-undang Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, satu mekanisme pemantauan perlu diwujudkan bagi menilai semula kemudahan kredit yang diberikan kepada pengguna melalui platform beli-belah dalam talian.
“Ada (pengguna) yang beri tahu saya, mereka beli barangan dari platform dalam talian. Kalau mereka bayar secara Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) untuk kali pertama, secara automatik pembelian berikutnya juga akan dibayar dengan menggunakan instrumen BNPL.
“Tetapi memandangkan dia bayar tetap pada masa dan tidak dikenakan penalti, sekarang had kredit yang diberikan kepada pengguna ini mencecah RM10,000. Kalau pengguna seorang pembayar hutang yang berdisiplin dengan kredit sehingga RM10,000, tidak mustahil dia terjunam dalam perangkap hutang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Bagi Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusof pula, kehendak untuk membeli secara dalam talian ini merupakan suatu ketagihan.
Menurutnya, situasi itu diburukkan lagi dengan skim BNPL yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan seseorang individu sehingga usia bersara.
“Berdasarkan statistik saya sendiri di Kedah, ada individu yang berpencen tetapi masih menganggung hutang, pinjaman koperasi dan sebagainya.
“Apabila kerajaan menetapkan kawalan terhadap hutang iaitu tidak boleh lebih 60 peratus daripada pendapatan, barulah kita dapat lihat ada peluang kepada pekerja untuk bernafas.
“Apabila kita turun ke lapangan untuk beri nasihat mengenai hal ini, mereka marah kita atas alasan itu duit dia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Ekonomi Pengguna & Keluarga (MACFEA), Prof. Dr. Faridah Hassan pula menyentuh mengenai fenomena BNPL dari perspektif kontrak pinjaman yang ditandatangani pengguna.
“Kontrak yang diberikan kepada pengguna risikonya tidak setinggi dahulu berbanding sekarang. Dahulu kita percaya bahawa sebarang kontrak yang ditandatangani oleh kita adalah baik.
“Tetapi sekarang ini, kadang-kadang kontrak itu ada perkataan-perkataan halus, banyak perkataan, banyak terma-terma teknikal dan pihak pengguna malas baca. Perkara-perkara ini yang memerangkap mereka,” katanya.
Pada Selasa, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.
