Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menjangkakan bakal ditahan di bawah Akta Hasutan pada bila-bila masa sahaja.

Menurutnya, beliau dapat menjangkakan tindakan itu susulan soalan-soalan yang diajukan pihak polis pada sesi mengambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

"Daripada soalan-soalan yang polis tanya itu, saya sudah boleh jangka (akan ditangkap dibawah Akta Hasutan).

"Saya rasa tidak lama dah (akan ditangkap). Mungkin dalam beberapa hari, dua atau tiga hari lagi. Bila-bila masa.

"Soalan-soalan itu berkisar dengan berkenaan artikel saya yang mempertikai hak penjagaan Indira M Gandhi dalam blog saya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Zaid menjangkakan bakal ditangkap berhubung tulisan di blognya yang bertajuk 'My heart goes to you, Indira'.


BACA: Kesahihan penukaran agama kepada Islam kuasa eksklusif Mahkamah Syariah

BACA: Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif kes tukar agama


Tambah Zaid, berikutan tulisan itu beliau disoal siasat mengikut Seksyen 4 (1)(C) Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Zaid enggan mengulas lanjut soalan-soalan yang diajukan polis kepadanya.

Memetik laporan beberapa portal berita, Zaid dikatakan memberi keterangan kepada pihak polis sejak jam 2.30 petang.

Memetik kenyataan Zaid menerusi laporan portal berita Free Malaysia Today, Zaid berkata beliau menulis dalam konteks terbuka dan tidak menuduh mana-mana pihak.

Justeru, walau disoal siasat, Zaid berikrar akan terus menulis.

"Saya tidak ada kerja lain kecuali menulis. Kalau saya berhenti, saya tak ada kerjalah.

"Saya akan tetap teruskan perkara penting untuk negara ini. Saya tidak akan rasa tercabar dengan tindakan ini," katanya.

Zaid sebelum ini mengkritik badan kehakiman berikutan keputusan majoriti penghakiman Mahkamah Rayuan yang membabitkan perebutan anak-anak K Pathmanathan @ (Mohd Redwan Abdullah) dan bekas isterinya M Indira Gandhi yang ditukar kepada agama Islam.

Menurutnya, keputusan kehakiman itu sebagai tidak adil dan tidak berhati perut.