SHAH ALAM: Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dijadualkan bermula di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini ditangguhkan ke September depan.


Ringkasan AI
  • Penangguhan Perbicaraan: Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam, telah ditangguhkan ke bulan September kerana representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk dipertimbangkan.
  • Pertuduhan: Muhammad Sanusi menghadapi dua pertuduhan menghasut berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik. Beliau mengaku tidak bersalah dan kes ini telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
  • Penetapan Tarikh Baru: Mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh baru untuk perbicaraan, termasuk 23, 29, dan 30 Julai, serta beberapa tarikh pada bulan Ogos, sebelum akhirnya ditangguhkan ke bulan September.


Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan bagi pihak Muhammad Sanusi telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lepas.

Peguam mewakili beliau, Awang Armadajaya Awang Mahmud percaya AGC memerlukan masa untuk pertimbangkan representasi itu serta meneliti perkembangan baharu dalam kes berkenaan.

Justeru, beliau mencadangkan penangguhan selama dua bulan untuk pihak berkaitan mendapatkan maklumat penuh dan mempertimbangkan representasi.

Beliau kemudian memohon tarikh untuk pengurusan kes ditetapkan dalam masa dua bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan telah menerima representasi berkenaan sebelum Hakim membuat keputusan kes ditangguhkan ke bulan September.

Muhammad Sanusi didakwa atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Muhammad Sanusi juga telah mengemukakan representasi kepada AGC untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun representasi itu telah ditolak oleh AGC.

Selain pada Isnin, mahkamah sebelum ini menetapkan 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos ini untuk perbicaraan.