ADAKAH anda mudah lupa sekarang? Cepat terlupa apa yang hendak dikatakan? Sering keliru di mana anda letak barang? Jika ya, sudah tiba masanya untuk anda menjaga kesihatan bagi mengurangkan risiko anda menghidapi demensia.

Demensia adalah istilah umum bagi beberapa penyakit, dan ia sering dikaitkan dengan penyakit Alzheimer. Demensia juga merujuk kepada kemerosotan keupayaan berfikir dan menganalisa serta boleh mengganggu aktiviti kehidupan harian yang biasa. Keadaan demensia boleh bertambah buruk secara berperingkat sepanjang tahun dengan kadar yang perlahan. Justeru, ia menjadi sukar untuk mengenal pasti apabila seseorang mula mengalami demensia.

Namun begitu, terdapat beberapa tanda-tanda amaran awal bagi seseorang yang menghidap demensia. Antaranya termasuk kesukaran menumpukan perhatian, kesukaran melakukan aktiviti harian yang biasa dilakukan, kekeliruan tentang masa dan tempat, serta perubahan emosi dan keperibadian. Tanda-tanda ini mungkin tidak disedari oleh orang yang mengalaminya tetapi sebaliknya diperhatikan oleh rakan sebaya dan ahli keluarga.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa demensia adalah penyebab utama kematian ketujuh di seluruh dunia pada tahun 2019, dan prevalen demensia di peringkat global adalah antara 5% hingga 8% dalam kalangan populasi warga emas. Walau bagaimanapun, prevalen demensia dalam kalangan warga emas berumur ≥60 tahun di negara Malaysia adalah 8.5%. Hal ini sangat membimbangkan kerana data ini menunjukkan 1 dalam 10 populasi warga emas Malaysia mengidap demensia. Selain itu, telah dianggarkan bahawa demensia menjadi punca utama hilang daya upaya yang ketiga di kalangan lelaki dan punca utama kedua di kalangan wanita berumur 80 tahun ke atas pada tahun 2014.

Demensia juga sering disalahertikan sebagai gejala yang boleh menjejaskan ingatan seseorang semata-mata. Walhal, ia boleh menjejaskan kehidupan seseorang dalam lebih daripada satu cara. Mereka yang mengalami demensia selalunya sukar untuk mengawal dan meluahkan emosi mereka dengan cara yang sesuai. Mereka mudah cenderung untuk mengalami perubahan mood yang cepat. Perubahan tingkah laku secara tiba-tiba telah menjadi beban kepada para penjaga kerana perwatakan mereka susah diramal. Persatuan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) berpendapat bahawa ia memerlukan tiga penjaga secara purata untuk menjaga seseorang yang mengalami demensia. Oleh sebab itu, pesakit demensia selalunya ditempatkan di rumah jagaan.

Di samping itu, akibat stigma penyakit, penghidap demensia kerap disalahtafsirkan dan hal ini juga membuatkan mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah disebabkan masalah kesihatan, status kewangan, status pekerjaan dan hubungan dengan orang sekeliling.

Menurut ADFM, walaupun tidak ada cara mutlak untuk mencegah semua jenis demensia, terdapat bukti yang berkesan bahawa kekal aktif secara mental dan mengekalkan gaya hidup sihat boleh membantu mengurangkan risiko mengalami demensia apabila umur semakin meningkat. Melibatkan diri dalam aktiviti mental atau sosial boleh merangsang keupayaan otak untuk menangani penyakit, mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood keseluruhan. Aktiviti ini secara tidak langsung akan membantu melambatkan atau menghentikan demensia daripada bertambah parah.

Beberapa aktiviti yang disyorkan termasuk:

1) Melakukan aktiviti perangsang minda seperti sudoku, permainan papan atau menggunakan telefon pintar atau tablet untuk mengakses aplikasi yang boleh mengasah minda. Aktiviti ini boleh mengasahkan minda dengan memproses maklumat dan mengembangkan kemahiran berfikir.

2) Meneruskan hobi seperti membaca buku, bermain alat muzik, atau menyimpan diari. Aktiviti ini boleh melambatkan kemerosotan kognitif.

3) Cari peluang melakukan kerja-kerja sukarela dan memperjuang sesuatu yang anda yakini. Menjadi sukarelawan bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi ia juga dapat membaiki fungsi kognitif. Dalam satu kajian, mereka yang sering melakukan kerja-kerja sukarela mempunyai risiko lebih rendah untuk menerima rawatan anti-demensia, berbanding mereka yang tidak.

4) Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dengan lebih kerap. Peredaran darah yang bertambah baik dengan aktif secara fizikal boleh meningkatkan kecerdasan otak. Mulakan hari anda dengan sedikit senaman, seperti berjalan pantas di taman atau sekitar kawasan perumahan. Anda juga boleh menyertai aktiviti tai-chi atau senam robik di kawasan komuniti kediaman anda.

5) Amalkan gaya pemakanan yang sihat dan seimbang dapat mengurangi risiko penyakit tidak berjangkit termasuk demensia. Ia sangat digalakkan untuk menuruti corak pemakanan yang lebih spesifik seperti diet Mediterranean yang merangkumi bijirin penuh, buah-buahan,sayuran, ikan dan makanan laut bercengkerang, serta lemak sihat seperti kekacang dan minyak zaitun. Diet ini membekalkan nutrien penting untuk kesihatan otak dan dapat menurunkan risiko demensia.

6) Berhenti merokok. Sekiranya anda merupakan salah seorang perokok, inilah masa yang tepat untuk berhenti merokok. Ini kerana, ia dapat mengurangkan kerosakan pada sel-sel otak. Adalah lebih baik untuk berunding dengan doktor anda tentang cara-cara berhenti merokok.

Akhir sekali, semakin lanjut usia, semakin banyak masalah kesihatan yang bakal muncul seperti tekanan darah tinggi ataupun diabetes. Kondisi ini menyebabkan anda lebih cenderung untuk menghidap demensia. Oleh itu, lakukan saringan kesihatan dengan kerap bagi mengawal keadaan kesihatan anda.

Kesimpulannya, harus ditegaskan bahawa penyakit demensia bukan sebahagian daripada penyakit tua yang biasa. Ia akan memberi impak yang besar terhadap pesakit demensia dan juga masyarakat sekeliling. Oleh hal yang demikian, tidak kira umur, mulalah untuk mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan anda dan kesayangan daripada menjadi pesakit demensia yang seterusnya.

Rencana ini ditulis sempena Hari Alzheimer Sedunia, yang jatuh pada 21 September.



* Penulis merupakan pelajar-pelajar Perubatan Tahun Empat, Community Posting (Kumpulan 8A), Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya

** Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.