KUCHING: Setiap individu khususnya ketika melalui zaman muda pasti mendambakan pasangan atau teman untuk hidup bersama hingga ke akhir hayat, namun Molly Teo Siok Khim, 81, akur dengan ketentuan-Nya untuk bertemu jodoh pada usia senja.

Pertemuan wanita itu dengan Richard Wong Yuan Chang, 66, pada tahun lepas sewaktu masing-masing menghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching telah memutik rasa sayang, tambahan pula personaliti mereka berdua ibarat 'dulang dengan tudung saji', saling melengkapi antara satu sama lain.

"Richard yang memulakan langkah dahulu untuk kenal saya," kata wanita itu yang tersenyum sambil memandang Richard yang tersipu-sipu malu.

Semalam, Wong dan Teo disatukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengarah JPN Sarawak Mahathir Bujang.

Sebelum ini, Wong pernah berkahwin dengan seorang penghuni pusat warga emas berkenaan namun isterinya telah meninggal dunia atas faktor kesihatan.

Tampil dengan solekan ringkas dan berbaju ceongsam rona merah di hari istimewanya, Teo yang telah menghuni pusat warga emas itu sejak 2005 berkata persamaan agama menjadi antara faktor utama keserasian mereka.

Teo berkata perwatakan Wong yang baik dan lemah lembut berjaya menambat hati serta menerima lamaran lelaki itu untuk menghabiskan sisa hidup bersama.

"Kami berdua beragama Kristian jadi memang 'ngam' lah... selepas ini, pada waktu malam kami boleh membaca kitab 'Bible' dan berdoa bersama-sama," katanya yang suka menyanyi dan menari poco-poco.

Mula menghuni RSK Kuching sejak 2023, Wong mengakui karakter Teo yang lebih ekstrovert menarik perhatiannya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata perkahwinan Wong dan Teo menjadi antara inisiatif yang tepat bagi membantu warga emas mengatasi masalah kemurungan yang berisiko tinggi dihadapi golongan berkenaan.

Beliau menjelaskan pihaknya turut menggalakkan penghuni RSK Kuching dan Sibu yang bertemu jodoh di pusat berkenaan untuk melangsungkan perkahwinan secara sah mengikut agama masing-masing.

"Apabila sudah berkahwin secara sah kita akan tempatkan mereka di unit kelamin yang ada di RSK supaya mereka dapat tidur bersama. Yang penting setiap insan layak untuk bahagia dan mereka berdua menemui kebahagiaan meskipun pada usia tua.

"Kita akan bantu untuk melangsungkan upacara perkahwinan mengikut prosedur. Jadi setidak-tidaknya, mereka ada alasan untuk hidup dan seseorang yang akan menjadi teman untuk menjaga antara satu sama," katanya menambah Wong dan Teo satu-satunya pasangan berkahwin di RSK setakat ini.

RSK Kuching dan Sibu masing-masing menempatkan 61 dan 31 individu warga emas setakat ini. Antara syarat menjadi penghuni di pusat berkenaan ialah tidak mengalami masalah kesihatan mental, tidak menghidap penyakit berjangkit dan tidak mempunyai waris yang boleh menjaga mereka.

-- BERNAMA