Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah untuk membatalkan perdakwaan terhadapnya berhubung penganjuran perhimpunan Bersih 4, Ogos tahun lalu.

Menurut Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, permohonan itu ditolak kerana Maria gagal mengemukakan permohonan dalam tempoh 10 hari kepada Ketua Polis Daerah Brickfields untuk perjumpaan pra-perhimpunan Bersih di luar pusat beli belah Nu Sentral, di ibu negara antara 2 petang hingga 3 petang 29 Ogos 2015.

Keputusan dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun lepas yang memutuskan penganjur yang gagal berbuat demikian boleh didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

"Mahkamah mendapati bahawa permohonan pemohon tidak mempunyai merit.

"Mahkamah juga mendapati keputusan itu adalah retrospektif di mana keputusan dalam kes R.Yuneswaran mengatasi keputusan awal Mahkamah Rayuan dalam kes Nik Nazmi," kata Hakim.

Yuneswaran, yang merupakan Setiausaha Eksekutif PKR Johor dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 26 September 2013, selepas didapati bersalah gagal mengemukakan notis dalam masa 10 hari kepada Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan bagi penganjuran perhimpunan 'Blackout 505' pada 2013.

Bagaimanapun pada 24 Ogos 2015, beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mei 2014 dalam kes Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengisytiharkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak berperlembagaan.

Mahkamah kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwa raya terhadap keputusan membebaskan R.Yuneswaran itu pada 1 Oktober 2015, selepas panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif berpendapat bahawa Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

Mohamad Shariff kemudian mengarahkan pendakwaan terhadap Maria diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Peguam,Ambiga Sreenevesan yang mewakili Maria berkata, pihaknya akan merayu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, Seksyen 9(5) adalah tidak sah pada ketika perhimpunan Bersih 4 berlangsung justeru ia tidak boleh dikenakan ke atas anak guamnya.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Perhimpunan Bersih 4 berlangsung selama dua hari bermula 29 Ogos sehingga selesai ambang kemerdekaan pada awal pagi 31 Ogos.